mutakhir

Hanya perlu surat MOT bagi kenderaan komersial

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Kenderaan komersial yang dikategorikan perkhidmatan perlu hanya memerlukan surat kelulusan Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) bagi perjalanan antara negeri.

MOT dalam kenyataannya berkata, pemandu dan kelindan bas ekspres, lori dan kenderaan komersial lain di bawah kategori perkhidmatan perlu (essential services) hanya perlu memohon surat kelulusan MOT melalui sistem SMILE jika memerlukan perjalanan antara negeri.

Menurutnya, pemegang surat kelulusan MOT tidak memerlukan surat kebenaran tambahan yang lain untuk perjalanan antara negeri sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 atau sekatan pergerakan penuh Fasa Pertama mulai 1 hingga 14 Jun ini.

"Seperti biasa, MOT menggesa seluruh rakyat Malaysia sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat seperti ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Ini termasuk menggunakan cecair pembasmi kuman, memakai pelitup separuh muka, mengamalkan penjarakan sosial dan mengimbas kod QR MySejahtera jika diperlukan," katanya.

Disiarkan pada: June 2, 2021 @ 7:00pm
d