mutakhir

APMM Kuala Perlis rampas daun ketum 700kg bernilai RM126,000

Oleh Aizat Sharif

Kangar: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kuala Perlis mematahkan cubaan menyeludup 700 kilogram (kg) daun ketum bernilai RM126,000 ke negara jiran pada Op Benteng Laut di Kuala Perlis di sini, malam tadi.

Pengarah APMM Zon Maritim Kuala Perlis Komander Maritim Mohd Shafie Paing berkata, daun ketum itu dirampas di pesisir pantai Sungai Baharu, Kuala Perlis jam 10.45 malam.

"Hasil maklumat Cawangan Khas, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, bot APMM dikerah ke lokasi berkenaan untuk tugasan Op Benteng Laut.

"Tiba di lokasi, kami beberapa bungkusan plastik mengandungi daun ketum yang ditinggalkan di pesisir pantai," katanya pada kenyataan hari ini.

Menurut beliau, sindiket penyeludupan menunggu masa sesuai untuk mengambil bungkusan itu sebelum diseludup ke negara jiran.

"Daun ketum itu dianggarkan bernilai RM126,000 mengikut anggaran nilai semasa di negara Thailand iaitu RM180 bagi sekilogram daun ketum.

"Ini rampasan ketujuh membabitkan daun ketum pada tahun ini bagi Zon Maritim Kuala Perlis," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952, sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih empat tahun atau kedua-duanya sekali.

Disiarkan pada: June 10, 2021 @ 3:22pm
d