mutakhir

Suspek lari tangan bergari akhirnya ditahan

Oleh Ramli Ibrahim

Gua Musang: Lelaki yang melarikan diri dalam keadaan tangan bergari pada Isnin lalu akhirnya ditahan ketika bersembunyi dalam bangsal di Pos Tohoi, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintendan Sik Choon Foo berkata, suspek berusia 24 tahun dikesan berada dalam bangsal di ladang getah terbabit selepas seminggu menghilangkan diri.

Menurutnya, lelaki terbabit diburu kerana melarikan diri dalam keadaan tangan bergari ketika dibawa ke kedai runcit di Kampung Jias C, Kuala Betis untuk siasatan kes menjual barang curi.

"Berdasarkan maklumat diterima, sepasukan anggota polis membuat pemerhatian terhadap sebuah bangsal dalam ladang getah dekat Pos Tohoi kira-kira 3 pagi tadi.

"Ketika diserbu, polis berjaya menahan lelaki terbabit walaupun berlaku pergelutan sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Gua Musang untuk siasatan lanjut.

"Kita turut menahan peniaga sebuah kedai runcit untuk membantu siasatan kerana disyaki membeli barangan yang dicuri suspek," katanya.

Menurutnya, suspek yang juga penagih dadah kerap melakukan pecah rumah termasuk rumah guru dengan mencuri dua tong gas dan enjin bot.

"Selepas seminggu melarikan diri dan terselamat daripada lemas apabila terjun Sungai Betis di Kampung Jias C, suspek ada meminta penduduk membuang gari tangan

"Kes disiasat mengikut Seksyen 457, Seksyen 223 dan Seksyen 224 Kanun Keseksaan," katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan lelaki terbabit bertindak agresif ketika ditahan sebelum melarikan diri dan terjun sungai dalam keadaan tangan bergari.

Disiarkan pada: June 20, 2021 @ 4:05pm
d