mutakhir

Padah lari pemeriksaan polis, pekerja pembersihan hadapi 4 pertuduhan [METROTV]

Oleh Audrey Dermawan

Georgetown: Pekerja pembersihan yang ditahan polis ketika cuba melarikan diri dengan memandu Perodua Myvi secara agresif pada minggu lalu, didakwa dengan empat pertuduhan di dua mahkamah berasingan hari ini.

Di Mahkamah Majistret di sini, Mohamad Adlin Abd Rahman, 46, didakwa membunuh kerana menyebabkan kematian Teoh Kar Hin, 61, di Jalan Perak pada 6.45 pagi pada 15 Jun lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Adlin juga dituduh menghalang empat anggota polis, Arif Mohamed, Hasrizal Zainal, Mohammad Firdhaus Mokhtar dan Muhamad Nuradha Mohamad Zain ketika menjalankan tugas penjawat awam di persimpangan lampu isyarat Jalan Perak-Jalan P. Ramlee hingga ke Jalan Batu Uban 2 antara 6.45 pagi dan 7.25 pagi pada hari yang sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

Tertuduh juga didakwa memasukkan dadah jenis methamphetamine ke badannya di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut pada 5 petang hari yang sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada Adlin atas tuduhan pembunuhan, manakala dia mohon untuk dibicarakan bagi dua pertuduhan lain selepas kertas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret R Manomani.

Di Mahkamah Sesyen di sini, pula, tertuduh mengaku bersalah memiliki 12.5 gram heroin di Jalan Batu Uban 2 pada 7.20 pagi pada hari yang sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39A (2) akta yang sama.

Tertuduh membuat pengakuan itu selepas kertas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Norsalha Hamzah.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Nazri Abdul Rahim, manakala Adlin diwakili oleh R Puran.

Manomani dan Norsalha kemudiannya menetapkan 12 Ogos depan untuk tarikh sebutan semula kes berkenaan dan tiada jaminan diberikan terhadap tertuduh.

Pada Selasa lalu, media melaporkan sepasukan anggota polis terpaksa menembak sebuah kereta dipandu seorang lelaki yang cuba melarikan diri daripada pemeriksaan polis.

Kereta yang disewa seorang lelaki itu dikatakan melanggar seorang warga emas hingga maut dalam usahanya untuk melarikan diri.

Disiarkan pada: June 23, 2021 @ 2:28pm
d