mutakhir

Pandai orang Selangor berniaga e-dagang

Oleh Ruwaida Md Zain

Shah Alam: Sejumlah RM1 bilion dijana untuk ekonomi Selangor melalui Kempen Selangor E-Bazar Raya sekaligus memberikan manfaat kepada 134,000 peniaga e-dagang di seluruh negeri itu.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kempen yang diadakan bermula 15 April sehingga 29 Mei lalu mencatatkan hasil memberangsangkan dengan kesan riak (ripple effect) sebanyak RM954 juta kepada ekonomi Selangor termasuk jualan terus bernilai RM65 juta.

"Kerajaan Selangor menyalurkan RM2 juta sebagai baucar subsidi untuk kempen Selangor E-Bazar Raya yang menyaksikan penyertaan 22,049 peniaga e-dagang baharu dan memanfaatkan 134,025 peniaga e-dagang secara keseluruhan.

"Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 76 peratus daripada sasaran awal iaitu 12,500 peniaga e-dagang baharu yang dijangka menyertai kempen ini.

"Ini juga menunjukkan lebih ramai Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) mendapat manfaat daripada kempen terkini Selangor E-Bazar ini," katanya dalam sidang media secara maya selepas pengumuman keputusan Kempen Selangor E-Bazar Raya dan pelancaran Sidec TV di sini, tadi.

Amirudin berkata, sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kempen itu memastikan penjual Selangor menjadi pilihan utama pelanggan dalam memenuhi bekalan dan keperluan isi rumah seperti makanan, perabot dan peralatan sukan.

'Kempen itu juga membantu PKS menjana hasil jualan ketika PKP dengan memenuhi keperluan pengguna untuk menikmati sambutan perayaan yang sederhana.

"Kempen itu diselaraskan oleh Invest Selangor dan Selangor Information Technology and Digital Economy Corporation (Sidec) dengan kerjasama Shopee dan Lazada, dua platform e-dagang paling digemari di Malaysia," katanya.

Beliau berkata, kempen Selangor E-Bazar itu sekali lagi membuktikan peniaga yang mendigitalisasikan perniagaan mereka mendapat pulangan yang lumayan.

"Hasil terkini juga menunjukkan peningkatan sebanyak 163 peratus untuk jualan terus dan 139 peratus peningkatan kesan riak kepada ekonomi Selangor berbanding dengan sasaran awal yang dibuat," katanya.

Menurutnya, Selangor berbangga menjadi kerajaan negeri pertama yang melancarkan inisiatif baucar e-dagang dalam membantu PKS negeri untuk menghadapi cabaran Covid-19.

"Kita mengadakan empat kempen E-Bazar, iaitu E-Bazar Raya 2020, E- Bazar 11.11 Mega Sales, E-Bazar CNY 2021 dan E-Bazar Raya 2021.

"Dengan pelaburan RM7 juta oleh kerajaan negeri, empat pusingan kempen itu menghasilkan jualan terus berjumlah RM144.7 juta dan mewujudkan kesan riak sebanyak RM2.95 bilion untuk ekonomi negeri Selangor," katanya.

Disiarkan pada: June 23, 2021 @ 6:36pm
d