mutakhir

Sarawak benar solat di masjid, surau dengan bilangan jemaah dihadkan

Oleh Mohd Roji Kawi

Kuching : Majlis Islam Sarawak (MIS) membenarkan 100 jemaah menunaikan solat lima waktu Masjid Jamek Negeri Sarawak, mulai esok.

Bagi masjid Bahagian, Daerah, Daerah Kecil, masjid kariah dan surau pula, jumlah jemaah dibenarkan tidak melebihi 50 orang.

MIS dalam kenyataan hari ini memaklumkan, bagi solat Jumaat pula, jumlah jemaah di Masjid Jamek Negeri Sarawak adalah dibenarkan tidak melebihi 200 orang.

Masjid Bahagian, Daerah, Daerah Kecil masjid kariah pula tidak melebihi 100 orang manakala bagi surau yang mengadakan solat Jumaat pula dibenarkan tidak melebihi 50 orang jemaah.

"Jumlah jemaah yang dibenarkan itu adalah termasuk pegawai masjid serta jawatankuasa pengurusan dan garis panduan ini dikeluarkan untuk dilaksanakan di Sarawak selaras dengan perkembangan semasa penularan Covid-19 dan ketetapan kerajaan negeri dalam menangani penularan pandemik itu," kata kenyataan itu.

Menurutnya lagi, aktiviti pengimarahan masjid dan surau seperti ceramah, kuliah, kelas pengajian dan lain-lain adalah benarkan mengikut tempoh dan had jemaah ditetapkan iaitu selepas solat Maghrib hingga azan solat Isyak saja.

Siaran langsung atau 'live streaming' melalui media sosial juga dibenarkan di masjid dan surau dengan masa siaran adalah selepas solat Maghrib hingga azan solat Isyak dan ketika khutbah Jumaat saja.

Pengurusan jenazah yang tiada kaitan dengan Covid-19 dibenarkan di masjid dan surau dengan kehadiran tidak melebihi sepuluh orang waris saja dengan mematuhi penjarakan fizikal satu meter manakala kehadiran pengurus jenazah dibenarkan dengan bilangan yang sesuai.

Pengebumian jenazah yang tiada kaitan dengan Covid-19 juga dibenarkan dengan kehadiran tidak melebihi sepuluh orang waris dan petugas perkuburan dengan mematuhi penjarakan fizikal.

Bagaimanapun, aktiviti ziarah kubur masih ditangguhkan buat sementara.

Menurut kenyataan itu lagi, pegawai dan jawatankuasa pengurusan masjid serta surau perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan iaitu menggunakan pelitup muka sepanjang masa, imbas suhu badan, mendaftar kehadiran melalui MySejahtera atau buku rekod sebelum masuk ke dalam masjid atau surau, membawa sejadah atau alas sujud sendiri, berwuduk di rumah, tidak bersesak-semak ketika masuk dan keluar dan tidak bersalaman.

Tempoh pembukaan masjid atau surau adalah 30 minit sebelum azan, penggunaan pembesar suara di luar hanya dibenarkan untuk azan.

Selain itu, bacaan al-Quran 30 minit sebelum azan, khutbah dan pengumuman penting untuk ahli kariah saja, masjid atau surau hendaklah ditutup sejurus selepas wirid dan doa selepas solat oleh imam (kecuali dalam tempoh pengimarahan dibenarkan) dan masjid atau surau hendaklah ditutup untuk semua aktiviti mulai jam 9 malam setiap hari.

"Semua SOP Covid-19 hendaklah dipatuhi sebagaimana yang ditetapkan Lembaga Fatwa Negeri Sarawak, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"MIS boleh mengubah atau meminda garis panduan ini dari semasa ke semasa berdasarkan keperluan dan garis panduan ini berkuat kuasa mulai 24 Jun 2021 sehingga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditamatkan atau mana-mana arahan lanjut yang ditetapkan oleh MIS," katanya.

Disiarkan pada: June 23, 2021 @ 6:49pm
d