mutakhir

Miliki tabung surau curi, penganggur didenda RM2,600

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Seorang penganggur didenda RM2,600 atau penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret Selayang di sini hari ini kerana memiliki harta curi iaitu satu tabung surau.

Majistret Nur Hafizah Rajuni menjatuhkan hukuman itu selepas Muhammad Fadhil Azmi, 25, mengaku bersalah memiliki tabung milik Surau As Sufi Selayang Height membabitkan kerugian RM150, yang mana tertuduh mengetahui bahawa barang itu adalah harta curi.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Pangsapuri Selayang Height, Gombak, dekat sini pada 3.40 petang, 20 Jun lalu dan didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, pada 18 Jun lalu, polis menerima laporan tentang kehilangan tabung surau yang diletakkan di tepi lif di pangsapuri itu dan hasil rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati seorang lelaki memecahkan tabung itu.

Sepasukan polis kemudian membuat penggeledahan di sebuah unit rumah pangsapuri berkenaan iaitu rumah tertuduh pada 20 Jun dan menemui barang kes (tabung) dan pakaian yang digunakannya semasa melarikan tabung surau berkenaan.

Terdahulu, peguam M Mariappan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan yang mewakili tertuduh merayu hukuman denda minimum dengan alasan anak guamnya menanggung isteri dan seorang anak, namun Timbalan Pendakwa Raya Nur Intan Syakieraah Zakaria memohon hukuman setimpal.

Disiarkan pada: June 23, 2021 @ 6:56pm
d