RAZALI tanggung sakit dua jam sebelum dibantu anggota bomba.

Bachok: “Kami mencuba pelbagai cara untuk mengeluarkan jarinya yang tersepit seperti tuang minyak dan sabun, namun gagal,” kata Mohd Syafiq Mazlan, menceritakan kejadian majikannya tersepit jari kelingking kanan pada enjin Perodua Kancil di sebuah premis mencuci kenderaan di Kampung Baru Hujung, Repek, di sini, Rabu lalu.

Dalam kejadian kira-kira 4 petang itu, Razali Mat Zin, 32, terpaksa menanggung kesakitan selama dua jam sebelum menerima bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Bachok.

Mohd Syafiq, 18, berkata, sebelum kejadian, majikannya membantu menyelenggara kereta pelanggan sebaik dia selesai mencuci.

“Saya mahu tengok enjin yang dicuci serta minta bantuan bos (mangsa) kerana alami sedikit kesukaran.

“Namun, tidak lama kemudian saya dengar dia menjerit dan beritahu jarinya tersepit. Saya ingat dia bergurau pada mulanya.

“Memang terkejut apabila jarinya benar-benar tersepit dan susah dikeluarkan,” katanya ketika ditemui di tempat mencuci kereta itu, kelmarin.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Ogos 2015 @ 5:15 AM