mutakhir

Dadah bernilai RM2.1 juta dirampas di Pulau Tengkorak [METROTV]

Oleh Siti Rohana Idris

Tumpat: Polis merampas 36 kilogram (kg) syabu dan 8.4kg heroin base dengan nilai anggaran sebanyak RM2.1 juta di tebing Sungai Golok di Pulau Tengkorak di sini, kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah berkata, dadah itu diseludup masuk ke negara ini oleh dua lelaki menggunakan bot galah.

Beliau berkata, menerusi serbuan jam 4.30 petang itu, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat menjalankan rondaan dalam Op Tapis.

"Ketika tiba di muka Kuala Taman Tengku Anis, Pengkalan Kubor atau dikenali sebagai Pulau Tengkorak, kelihatan dua lelaki beredar secara tergesa-gesa menggunakan bot galah menuju ke arah Takbhai.

"Pemeriksaan di sekitar menemukan dua bungkusan guni putih di batu tebing sungai yang disyaki mengandungi dadah.

"Pasukan kami mengatur strategi dengan membuat pemerhatian selama 15 jam bermula jam 5 petang kelmarin sehingga 8 pagi semalam bagi mengesan sama ada terdapat individu yang datang mengambil," katanya ketika sidang media di sini, hari ini.

Abdullah berkata, selepas didapati tiada yang datang menuntut, dua guni itu dibawa balik ke IPD Tumpat dan pemeriksaan dalam guni terdapat 36 bungkusan plastik berisi ketulan mampat kristal disyaki syabu dan 24 bungkusan dibalut plastik lutsinar mengandungi 8.4kg heroin base.

Menurutnya, syabu yang dianggarkan bernilai RM1.3 juta dan heroin base RM780,000 itu dipercayai untuk pasaran Kelantan dan Lembah Klang yang mana boleh digunakan oleh 222,000 penagih.

"Bekalan itu diedar ke luar dipercayai melalui jalan darat dengan pelbagai taktik antaranya menggunakan kenderaan mewah dan lori dengan muatan barangan lain.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengenalpasti sindiket yang terbabit dan akan mengadakan pertukaran maklumat bersama pihak berkuasa negara jiran bagi mengesan sindiket berkaitan," katanya.

Disiarkan pada: July 5, 2021 @ 11:30am
d