mutakhir

Kastam rampas 48 paket serbuk jus ekstasi bernilai RM140,580

Oleh Norsyazwani Nasri

Kuching: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak menggagalkan cubaan menghantar 48 paket serbuk jus bercampur dadah jenis ekstasi seberat 2.3 kilogram bernilai RM140,580 menggunakan perkhidmatan bas di Terminal Bas Kuching Sentral di sini, petang semalam.

Pengarahnya, Herman Shah Abdullah berkata, anggota Cawangan Narkotik, Bahagian Penguatkuasaan JKDM Kuching, menahan suspek yang juga lelaki tempatan di terminal bas itu berkenaan jam 6.05 petang.

"Suspek berumur 30-an datang ke terminal bas dan menuntut satu bungkusan di sebuah daripada kaunter perkhidmatan bas.

"Semakan mendapati, bungkusan itu dikirim oleh individu di Miri menggunakan perkhidmatan bas antara bandar," katanya pada kenyataan hari ini.

Menurut beliau, pemeriksaan pada bungkusan itu membawa kepada penemuan dadah terbabit.

"Bungkusan itu mengandungi serbuk ekstasi yang sudah dicampur dengan serbuk jus.

"Turut dirampas wang RM889 dan sebuah Toyota Vios. Taktik digunakan ialah menggunakan perkhidmatan kargo bas antara bandar untuk menghantar dadah ke Kuching," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati mandatori.

Disiarkan pada: July 6, 2021 @ 4:34pm
d