Bola Sepak

Padah kad merah, Jesus terlepas final

Oleh AFP

Rio de Janeiro: Penyerang Brazil Gabriel Jesus terlepas aksi final Copa America menentang Argentina Ahad ini selepas digantung dua perlawanan oleh Persekutuan Bolasepak Amerika Selatan (Conmebol).

Bintang Manchester City itu dibuang padang selepas mengasari Eugenio Mena ketika Brazil menewaskan Chile pada aksi suku akhir Sabtu lalu.

Dia tidak beraksi ketika mereka mengatasi Peru 1-0 pada separuh akhir semalam tetapi dia kini turut terlepas final di Stadium Maracana.

Jesus turut didenda A$5,000 (RM20,791), menurut Conmebol.

Jesus, 24, dilayang kad merah pada minit ke-48, hanya dua minit selepas Lucas Paqueta meletakkan Selecao di depan ketika menentang Chile.

Paqueta turut meledak gol kemenangan ke atas Peru yang menyaksikan Everton masuk menggantikan Jesus.

Dua tahun lalu, Jesus menjaringkan satu gol dan mencipta bantuan jaringan ketika Brazil muncul juara dengan menewaskan Peru 3-1 tetapi dia turut dibuang padang susulan terjahan keras ke atas pemain lawan.

Dia satu-satunya pemain yang menerima kad merah dua kali ketika kendalian jurulatih Tite.

Disiarkan pada: July 7, 2021 @ 12:20pm
d