mutakhir

Ejek-mengejek sebelum dibelasah [METROTV]

Oleh Siti Rohana Idris

Kota Bharu: Ejek-mengejek dalam pertengkaran dipercayai punca seorang buruh dibelasah beberapa individu dalam kejadian di Kubang Kerian, semalam.

Dalam kejadian 5 petang, lelaki berusia 30 tahun sedang berjalan dikatakan baru pulang dari tempat kerjanya sebelum dihampiri kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza di Jalan Pasir Tumboh, di sini.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, pemandu lelaki yang menaiki kenderaan itu bersama tiga wanita membunyikan hon kerana mendakwa mengenali mangsa lalu berhenti di situ.

"Kejadian dikatakan bermula apabila pemandu lelaki itu dikatakan membunyikan hon sebelum memberhentikan kenderaannya.

"Dari sini berlaku pertengkaran dan ejek-mengejek antara kedua belah pihak dan kenderaan itu juga ditendang oleh mangsa seperti dirakam video yang tular berkenaan," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Abdul Rahim berkata, mangsa mendakwa dipukul oleh suspek dan beberapa individu tidak dikenali termasuk seorang wanita menyebabkannya bengkak dan lebam di bahagian muka serta badan.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan dan usaha mengesan saksi serta mereka yang terbabit sedang dijalankan.

"Polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengetahui punca sebenar kejadian kerana satu pihak lagi belum tampil membuat laporan polis.

"Kami meminta mereka yang menyaksikan serta merakamkan kejadian ini untuk hadir ke Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu bagi membantu siasatan," katanya.

Semalam, tular sebuah video berdurasi tiga minit 37 saat yang memaparkan kejadian pertengkaran mulut antara mangsa dengan beberapa individu sebelum berlaku pergaduhan dan mangsa dibelasah.

Disiarkan pada: July 14, 2021 @ 2:56pm
d