Keadaan bumbung di Flet Paya Nahu yang diterbangkan angin dalam kejadian ribut, petang tadi. FOTO ihsan pembaca
Oleh Omar Osman
am@hmetro.com.my


Sungai Petani: Kira-kira enam rumah di tingkat empat Flet Paya Nahu, di sini, 'hilang' bumbung apabila diterbangkan ribut dalam kejadian yang turut merosakkan 100 rumah lain dan puluhan pokok tumbang sekitar kawasan Sungai Petani dan Merbok, di sini, petang tadi.

Mangsa, Mohd Suhairi Abdullah, 40, berkata, kejadian berlaku kira-kira 5 petang ketika dia bersama isteri dan dua anak mereka berehat di ruang tamu.

Menurutnya, tiba-tiba mereka terdengar bunyi deruman seperti helikopter terbang rendah lalu dia keluar untuk melihat apa yang berlaku.

"Bagaimanapun, saya terkejut apabila melihat pusaran angin menuju ke rumah lalu bergegas masuk ke dalam untuk memanggil isteri serta dua anak agar duduk berkumpul di tempat selamat.

"Beberapa saat kemudian sebahagian bumbung rumah saya mula diterbangkan angin dan ketika itu hujan lebat. Akibat terlalu takut, saya dan isteri serta dua anak hanya mampu berpelukan sambil melaungkan azan.

"Kami bernasib baik kerana hanya sebahagian bumbung diterbangkan angin, tetapi semua barangan di dalam rumah basah akibat air hujan," katanya.

Difahamkan, akibat kejadian itu, 12 keluarga yang tinggal di tingkat empat terpaksa dipindahkan sementara ke surau flet berkenaan akibat sebahagian besar bumbung diterbangkan ribut.

Sementara itu, jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Petani, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pokok tumbang di beberapa kawasan akibat ribut itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Ogos 2015 @ 9:51 PM