xpresi

Bawa pulang 1,001 cerita

Oleh Hafiz Ithnin

Mengimbau 2009, pengembaraan wanita ini ke Uttarkhand di India sememangnya sesuatu pengalaman yang tidak dapat dilupakan.

Wawa Rahim menceritakan, ketika itu dia mengembara ke India bersama sepupunya buat kali pertama selepas mendengar pelbagai keunikan yang terdapat di negara itu.

Sejujurnya sehingga kini dia tidak dapat melupakan keunikan di negara itu yang mempunyai 1,001 cerita menarik.

Apatah lagi India sememangnya sebuah negara yang mempunyai kepelbagaian bahasa, budaya dan kepercayaan.

Memulakan penceritaan, Wawa berkata, dari Kuala Lumpur tempoh penerbangan ke ibu negara India, New Delhi mengambil masa kira-kira lima jam.

"Di New Delhi kelihatan dunia sibuk yang sebenar seperti saya tonton filem Bollywood. Sesak dan setiap orang seperti tidak mempedulikan antara satu sama lain.

"Jalan sentiasa berhabuk dan bunyi hon kenderaan sudah menjadi 'permainan' setiap masa. Namun, bagi saya ia bukan sesuatu yang buruk, tetapi pengalaman menarik ketika mengembara," katanya.

Jelasnya, dia ke India secara kembara beg galas (bagpacker) sudah semestinya memberi pengalaman berbeza selain pengembaraan lebih menjimatkan. Paling penting dapat mengutip keindahan sepanjang perjalanan.

"Dari New Delhi, kami menaiki kenderaan empat roda menuju ke utara India iaitu dalam wilayah Uttarkhand tempat terletaknya Varanasi.

"Sejujurnya, saya dan sepupu teruja untuk ke lokasi berkenaan kerana di sana terletaknya tempat suci bagi masyarakat Hindu terutama di Sungai Gangga," katanya.

Katanya, perjalanan selama sekitar 13 jam menaiki kenderaan itu sememangnya memenatkan, tetapi rasa teruja melihat realiti kehidupan di sana hingga melangkaui rasa letih.

"Kami memilih untuk tinggal di sebuah hostel yang dekat dengan jambatan yang menjadi ikon Sungai Gangga iaitu Jambatan Lakshman Jhula.

"Jambatan Lakshman Jhula sememangnya destinasi popular dalam kalangan pelancong yang mengembara ke Uttarkhand kerana boleh melihat gaya hidup masyarakat setempat 'dari mata burung'," katanya.

Jelasnya, di jambatan berkenaan dia melihat pelbagai upacara keagamaan yang dilakukan masyarakat setempat.

"Melihat pelbagai upacara keagamaan yang diamalkan masyarakat setempat nyata memberikan pengalaman baharu buat saya dan sepupu.

"Malah, di seberang hostel kami terletaknya kuil Hindu yang cukup popular iaitu Kuil Gangga yang mempunyai reka bentuk unik," katanya.

Jelas Wawa, di sepanjang Sungai Gangga dapat dilihat juga golongan sami Hindu yang melakukan upacara keagamaan.

"Malah, terdapat juga kanak-kanak yang dihantar ke kuil berkenaan untuk menjadi sami. Mereka memakai busana kuning dan begitu mudah untuk dikenali.

"Selain itu, saya juga difahamkan masyarakat setempat bahawa Sungai Gangga menjadi tempat menyucikan diri dan berubat secara alternatif," katanya.

Katanya, selain berada di Sungai Gangga, dia juga meneruskan perjalanan ke Varanasi yang hanya mengambil masa sejam perjalanan dengan menaiki kereta.

"Varanasi seperti sebuah bandar yang lebih moden berbanding sekitar Gangga dan di sini kelihatan lebih ramai pengunjung dari luar negara.

"Pada hemat saya, ia juga menjadi tempat masyarakat berpendapatan tinggi tinggal. Malah, jalan raya dan kedainya lebih teratur," katanya.

Katanya, di Varanasi juga sinonim sebagai lokasi keagamaan kerana terdapat begitu banyak deretan kedai yang menjual alatan sembahyang.

"Saya juga berkesempatan melihat upacara masyarakat setempat melepaskan bekas tembaga di Sungai Gangga bagi menyampaikan hajat mereka kepada tuhan," katanya.

Bagi Wawa, berada di wilayah itu selama empat hari sememangnya tidak cukup untuk menikmati keindahan budaya masyarakat setempat yang memberi pengalaman baharu kepadanya sebagai seorang pengembara.

Disiarkan pada: July 18, 2021 @ 6:40am
d