mutakhir

TLDM, UKCSG 21 kukuh kerjasama pertahanan

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengukuhkan kerjasama pertahanan melalui Passage Exercise (PASSEX) bersama United Kingdom Carrier Strike Group 21 (UKCSG 21) di perairan Selat Melaka, semalam.

Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintah Armada Barat Lumut, Perak dalam kenyataan hari ini memaklumkan, eksesais itu membabitkan tiga aset TLDM iaitu KD Lekiu, KD Jebat dan Helikopter Super Lynx.

"UKCSG 21 pula terdiri daripada empat kapal tentera laut dan beberapa pesawat daripada tiga negara iaitu United Kingdom, Amerika Syarikat dan Belanda.

"Kapal perang terbabit adalah HMS Queen Elizabeth, HMS Kent, USS The Sullivans dan HNLMS Evertsen. Ini adalah pelayaran sulung HMS Queen Elizabeth, sebuah kapal pengangkut pesawat di rantau ini," kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan lagi, TLDM komited terhadap keselamatan maritim dan kerjasama pertahanan negara rantau ini dengan mana-mana tentera laut sahabat.

Selain itu, TLDM juga mengalukan eksesais seperti ini bagi meningkatkan kendalian dan persefahaman di lapangan.

Disiarkan pada: July 26, 2021 @ 1:20pm
d