mutakhir

Bukit Fraser capai imuniti kelompok

Oleh Roselan Ab Malek

Raub: Bukit Fraser sudah mencapai imuniti kelompok selepas 97 peratus penduduk dewasa di destinasi pelancongan popular itu sudah menerima dua dos vaksin Sabtu lalu.

Penyelaras Program Imunisasi Nasional (NIP) Bukit Fraser Dr Maryam Khadijah Badrulhisham berkata, seramai 312 individu berusia 18 tahun ke atas di kawasan itu sudah diberi vaksin.

"Penduduk terbabit termasuk 35 warga asing yang terbabit dalam industri pelancongan di sini, menerima dos pertama pada 3 Julai lalu dan dos kedua pada Sabtu lalu.

"Sebanyak 97 peratus penduduk dewasa termasuk mereka yang terbabit dalam industri pelancongan divaksin dan penerima sulung adalah lelaki berusia 72 tahun," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dr Maryam berkata, tiga peratus penduduk yang layak untuk vaksinasi membabitkan 20 individu yang belum divaksin dijadualkan untuk menerima dos pertama vaksin mereka pada 2 Ogos depan.

Penduduk Bukit Fraser membabitkan kira-kira 370 penduduk termasuk remaja dan kanak-kanak berusia 18 tahun ke bawah.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, dengan adanya imuniti kelompok itu, pihaknya dalam perancangan membuka semula pusat peranginan itu bagi menghidupkan semula sektor pelancongan di negeri ini yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Katanya, selain membuka semula aktiviti pelancongan di Bukit Fraser, kerajaan Pahang juga merancang untuk membuka Pulau Tioman yang akan dilaksanakan secara berperingkat bulan depan.

Katanya, 80 peratus penduduk dewasa di Pulau Tioman yang menerima dos pertama vaksin Covid-19 akhir bulan lalu dijadualkan menerima dos kedua mereka mulai esok.

"Kerajaan Pahang bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) sedang mengkaji prosedur operasi standard (SOP) sesuai bagi membolehkan kawasan pelancongan Bukit Fraser, Raub kembali beroperasi dalam masa terdekat.

"SOP di kawasan pelancongan itu juga akan dijadikan rujukan bagi membolehkan lokasi tumpuan pelancong lain di Pahang seperti Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Taman Negara dan Taman Negeri dibuka kepada orang ramai," katanya.

Katanya, kerajaan negeri juga bercadang mempercepat pemberian vaksin kepada pekerja restoran, hotel, kedai cenderahati yang terbabit dengan sektor pelancongan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: July 26, 2021 @ 6:25pm
    d