mutakhir

Pembangkang kemuka usul hilang kepercayaan kepada PM

Oleh Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemukakan usul hilang kepercayaan kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Katanya, usul dikemukakan termasuklah Ahli Parlimen Pagoh itu dimakzulkan dengan segera daripada jawatan Perdana Menteri dengan segera menurut Perlembagaan Persekutuan.

"Ahli-Ahli Dewan Rakyat pada hari ini mengambil maklum dan menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong bahawa pembatalan semua Ordinan Darurat berkuat kuasa pada 21 Julai 2021 yang dilakukan secara tergesa-gesa tanpa pembentangan di parlimen.

"Dan kenyataan yang bercanggah dan mengelirukan parlimen bukan saja gagal menghormati prinsip kedaulatan undang-undang yang terkandung di dalam rukun negara malah membelakangi fungsi dan kuasa Seri Paduka selaku Ketua Utama Negara seperti termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya dalam sidang media di parlimen hari ini.

Anwar berkata, mereka juga meminta Speaker Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Takiyuddin Hassan meletakkan jawatan segera kerana kesilapan yang dilakukan.

"Kita menyerahkan kepada budi bicara Yang di-Pertuan Agong untuk menyelesaikan kemelut yang berlaku," katanya.

Katanya, jika perlu, beliau akan menghadap Seri Paduka berhubung perkara itu bergantung kepada perkembangan dalam masa terdekat.

Disiarkan pada: July 29, 2021 @ 4:41pm
d