rap

Halang anak berlakon

Oleh Susunan Najiy Jefri

Bintang Hollywood, Jason Momoa enggan kedua-dua anaknya mengintai peluang dalam dunia lakonan.

Menurut pelakon berusia 42 tahun ini, dia tidak yakin dua anaknya iaitu Lola, 14, dan Nakoa,12, mampu berhadapan dengan tekanan dalam dunia glamour ini.

"Seorang anak saya mahu menyertai kerjaya ini tapi saya tidak restu. Saya seboleh mungkin tidak mahu mereka terjun dalam bidang ini walaupun saya sukakan dunia lakonan.

"Kalau boleh saya nak mereka ceburi perkara lain. Sejujurnya bidang ini tidak mudah dan saya tidak mahu mereka mendapat sebarang tekanan daripada orang luar.

"Saya kuat, saya boleh kawal perkara ini tapi saya tidak mahu memberi risiko kepada insan-insan yang paling saya sayang untuk tempuh tekanan yang bakal mereka lalui nanti," katanya.

Menurut bintang filem Aquaman itu, dia juga kini lebih aktif di belakang tabir sebagai pengarah.

"Sejak kebelakangan ini saya aktif dalam dunia pengarahan kerana ini adalah minat saya.

"Saya suka melihat hasil untuk sebuah projek berbanding hanya terbabit untuk satu watak. Saya akui suka melakukan kedua-duanya iaitu lakonan dan pengarahan," katanya

Siapa sangka, minat mendalam dalam dunia pengarahan membuatkan Momoa bakal bekerjasama dengan rakannya yang pelakon popular, Dwayne Johnson.

"Kami sudah kenal hampir 20 tahun ketika bertemu di Hawaii. Kami selalu berhubung dan bercadang untuk bekerjasama dalam sebuah filem.

"Cuma sekarang ini kami terlalu sibuk dengan kerjaya masing-masing," katanya.

Disiarkan pada: August 13, 2021 @ 6:49am
d