RUSLIN bersama pekerjanya menyusun barang di kedai.
HASNAH menunjukkan sebahagian produk sejuk beku IAT yang dikeluarkan pengusaha di bawah bimbingan JPV Kuala Langat.
ORANG ramai boleh mendapatkan pelbagai produk Vetmart di Pekan Sijangkang.
Oleh Saiful Iskandar Ismail
rencana@hmetro.com.my

Pembukaan pusat pengumpulan dan jualan industri asas ternak (IAT) dikenali Vetmart, dekat Pekan Sijangkang, Telok Panglima Garang, Selangor, adalah rahmat kepada pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) di negeri itu.

Ini kerana Vetmart yang dibangunkan itu menempatkan lebih 500 jenis produk keluaran 150 usahawan di Selangor.

Pusat jualan itu dibangunkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Selangor menerusi Pejabat Perkhidmatan Veterinar Daerah Kuala Langat dengan kerjasama pengusaha IAT tempatan, Ruslin Wahidon, 42, selaku pengendali Vetmart.

Ruslin berkata, premis Vetmart itu asalnya sebuah kuarters kediaman JPV yang terbiar dan dia memohon dengan jabatan itu bagi menyewa kawasan terbabit untuk dijadikan pusat sembelihan ayam.

“Permohonan untuk menjadikan kuarters ini sebagai loji sembelihan ayam tidak diluluskan.

“Namun, JPV bersetuju membenarkan ia dijadikan pusat pengumpulan produk IAT negeri Selangor.

“Berikutan itu, sejak Julai tahun lalu, saya mula mengendalikan Vetmart ini dengan menjual pelbagai jenis makanan dan keperluan harian membabitkan produk yang dikeluarkan usahawan Muslim,” katanya.

Beliau berkata, selepas lebih setahun beroperasi, Vetmart itu semakin menarik perhatian orang ramai kerana menjadi pusat sehenti kepada pelbagai jenis produk IAT dari seluruh negeri.

“Menerusi Vetmart ini, saya juga dapat memasarkan ternakan ayam kampung yang diusahakan sendiri dengan lebih mudah.

“Ketika mula beroperasi, jualan harian Vetmart ini sekitar RM200 tetapi susulan sambutan yang semakin baik, ia meningkat kepada RM400, ada kalanya mencapai RM18,000 hingga RM20,000.

“Vetmart dibuka setiap hari mulai jam 9 pagi hingga 7 malam,” katanya.

Beliau turut memanfaatkan media sosial terutama Facebook menerusi akaun Lin Agro Enterprise untuk mempromosikan produk IAT menerusi Vetmart itu.

Sementara itu, Pegawai Pembimbing IAT JPV Daerah Kuala Langat Hasnah Samikin berkata, selain di Kuala Langat, sebuah lagi Vetmart beroperasi di Sabak Bernam, di samping perancangan membuka sebuah lagi di Sungai Manggis, Sepang.

“Di sekitar Kuala Langat, hanya ada enam pengusaha produk IAT yang menghasilkan bebola serta burger ayam dan daging serta kulit lembu yang dikenali sebagai kekel.

“Dalam usaha memastikan kejayaan dan kelangsungkan produk IAT setempat, JPV menawarkan khidmat nasihat dan kursus kepada semua peserta.

“Antara aspek yang sering dibincangkan dalam kalangan pengusaha IAT ialah pembungkusan dalam usaha memastikan pemasaran produk yang dihasilkan menarik perhatian orang ramai,” katanya.

Beliau berkata, JPV juga menawarkan geran peralatan bernilai RM10,000 bagi membantu pengusaha IAT.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 September 2015 @ 8:14 AM