mutakhir

Rampas tujuh murai batu dalam sangkar

Oleh Juwan Riduan

Lahad Datu: Sejumlah tujuh burung murai batu dirampas dalam operasi Op Bersepadu Khazanah (OKB) di sempadan Hutan Simpan Tabin dekat Ladang Sungai Silabukan, di sini, semalam.

Operasi pada 4 petang itu membabitkan Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 17 Lahad Datu bersama Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah dan Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF).

Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, ketika rondaan dijalankan, pihaknya mengesan burung dalam sangkar yang tergantung di halaman sebuah rumah.

"Pemeriksaan dibuat dan mendapati pemilik burung tidak memiliki permit sah, bahkan haiwan ini dikelaskan sebagai binatang yang dilindungi dalam jadual kelas ke 2 Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997.

"Semua haiwan berkenaan dirampas dan dibawa balik ke Pejabat Hidupan Liar Tabin untuk tindakan selanjutnya," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau memberitahu siasatan lanjut dijalankan mengikut Jadual 2 Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997.

Disiarkan pada: August 16, 2021 @ 3:43pm
d