Bola Sepak

Kempunan lagi nak tengok aksi Messi

Oleh AFP

Paris: Penyokong Paris Saint-Germain (PSG) perlu menunggu lebih lama sebelum dapat menyaksikan penampilan pertama Lionel Messi.

Ia selepas jurulatih, Mauricio Pochettino tidak menyenaraikan bekas bintang Barcelona itu dan Neymar pada perlawanan Ligue 1 bertemu Brest di tempat lawan awal pagi esok.

Messi dan Neymar lewat memulakan sesi latihan pra musim selepas melanjutkan percutian mereka berikutan terbabit dengan saingan Copa America yang menyaksikan Argentina diketuai Messi menewaskan Brazil 1-0 pada aksi final di Rio de Janeiro, 11 Julai lalu.

Angel di Maria yang menjaringkan gol kemenangan Argentina pada perlawanan final itu, tersenarai di dalam skuad ketika PSG berusaha untuk meraih kemenangan kali ketiga dalam tiga perlawanan awal Ligue 1.

Gianluigi Donnarumma turut berada dalam skuad buat kali pertama sejak berhijrah ke Paris dari AC Milan selepas membantu Itali memenangi Euro 2020.

Bagaimanapun Sergio Ramos yang juga muka baharu kelab itu, masih belum cergas sepenuhnya untuk melakukan penampilan pertama.

Messi mungkin akan melakukan penampilan pertama bersama PSG minggu depan apabila bertemu Reims di tempat lawan sebelum rehat antarabangsa pada September di mana dia dijangka akan beraksi bersama Argentina untuk kempen kelayakan Piala Dunia.

Disiarkan pada: August 20, 2021 @ 7:57pm
d