vroom

Sentuhan radikal lotus

Oleh Lizam Ridzuan

SKUAD berbasikal acara trek Great Britain (GB) mengungguli Sukan Olimpik Tokyo 2020 lalu dengan menggondol tujuh pingat (tiga emas, tiga perak dan satu gangsa).

Di sebalik kejayaan itu, i

a turut membabitkan teknologi basikal 'Hope HB.T' yang dibangunkan jenama 'Hope' bersama pengeluar kereta sport prestasi, Lotus Cars.

Projek yang dimulakan sejak 2019 oleh Lotus Engineering itu untuk membantu atlet memenangi pingat pada kejohanan utama dunia dan ia sudah dibuktikan pada Olimpik lalu.

Bahagian basikal yang dibangunkan membabitkan fork dan palang pemegang ringan.

Ia dihasilkan daripada gentian karbon menjadikan rekaannya tampil unik, radikal dan berbeza.

Ketua Aerodinamik Lotus Richard Hill berkata, dia dan dua rakan setugas membangunkan prestasi aerodinamik pada basikal itu melalui konsep sama yang dibangunkan untuk jentera Lotus.

"Kelebihan pada reka bentuk ini ialah kami bukan pereka basikal dan melihat sesuatu itu daripada sudut berbeza. Ia juga adalah pendekatan Lotus untuk mana-mana pelanggan," katanya.

Ia dimulakan dengan memaksimumkan ciri aerodinamik basikal itu yang bersepadu dengan pelumba dengan melakukan fork yang lebih lebar daripada kebiasaan.

Ia berada di hadapan lutut pelumba yang membolehkan aliran udara melalui keseluruhan badannya.

Selain itu, palang kerangka belakang (seat stays) juga lebar. Ia membantu udara itu terkumpul bagi mewujudkan profil terbaik untuk pelumba dan basikal.

Lotus juga membantu membangunkan dua rekaan palang pemegang lebar bagi acara pecut dan kejar yang dihasilkan daripada titanium dan aluminium serta gentian karbon.

Rekaan inovatif ini menjadikan komponen hadapan termasuk fork menjadi lebih ringan

dan dalam masa sama, meningkatkan kekukuhan rekaan bagi menambah keyakinan kepada pelumba untuk beraksi pada tahap tertinggi.

Basikal ini juga adalah refleksi terhadap kenderaan Lotus yang memaksimumkan aerodinamik, ringan, material termaju dan pengendalian luar biasa yang digabungkan untuk prestasi yang terbaik.

Komponen gentian karbon seperti kerangka, fork, pemegang dan stem dihasilkan menggunakan cetakan tiga dimensi (3D) menerusi rakan kejuruteraan Renishaw.

Harga untuk pakej lengkap basikal Hope HB.T ini dianggarkan lebih RM152,000.

Disiarkan pada: August 22, 2021 @ 6:20am
d