mutakhir

Bincang dahulu sebelum putuskan terima tawaran

Oleh Amir Abd Hamid dan Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Pertemuan antara kerajaan dengan kepemimpinan pembangkang perlu dilakukan segera untuk berbincang mengenai tawaran kerjasama yang dibuat Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, hari ini.

Pengarah Komunikasi PKR, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil berkata, ia juga membolehkan kedua-dua pihak memperhalusi bentuk kerjasama dalam Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19 (JKMC).

Katanya, buat masa ini, kepemimpinan pembangkang yang diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim belum memutuskan sama ada mahu menerima tawaran itu atau tidak.

"Perbincangan berkenaan penting bagi memahami bentuk kerjasama atau kebersamaan yang dimaksudkan (oleh Ismail Sabri).

"Ini supaya pembangkang boleh melihat cara terbaik mencapai maksud dan matlamat sebenar iaitu menangani Covid-19, membantu menghidupkan semula ekonomi dan menjaga kebajikan rakyat.

"Yang pasti, ramai tidak mahu pembabitan pembangkang ini hanya bersifat 'tokenistic' atau sekadar cukup syarat sahaja," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Terdahulu dalam ucapan sulung Ismail Sabri, hari ini beliau menawarkan ruang kepada kepemimpinan pembangkang untuk menganggotai MPN dan JKMC, sekali gus mewujudkan kerjasama rentas parti demi membantu negara keluar daripada kemelut kesihatan dan ekonomi.

Disiarkan pada: August 22, 2021 @ 8:03pm
d