mutakhir

JKNK tambah katil di ICU, PKRC [METROTV]

Oleh Syaherah Mustafa

Kota Bharu: Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) menambah katil termasuk di Unit Rawatan Rapi (ICU) serta Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) susulan peningkatan kes itu di negeri berkenaan.

Pengarah JKNK Datuk Dr Zaini Hussin berkata, pihaknya turut merancang membuka PKRC Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di sini, termasuk menyediakan 50 katil klinikal sebagai persiapan jika masih berlaku peningkatan kes.

Menurutnya, ada kemungkinan kes yang bertambah berlaku kerana sambutan Aidiladha pada Jun lalu selain musim buah-buahan yang menyebabkan orang ramai berkumpul sejak kebelakangan ini.

"Insya-Allah dengan kesiapsiagaan yang dilakukan, kita boleh berhadapan dengan sebarangan peningkatan kes di negeri ini, namun masih berharap agar semua pihak bekerjasama bagi menangani penularan wabak.

"Kita juga mengambil langkah dengan membawa pesakit yang hampir sembuh di hospital untuk dipindahkan ke PKRC yang ada, supaya wad dapat menampung individu lain yang memerlukan rawatan di hospital.

"Melihat kepada peningkatan kes Covid-19 yang mencapai empat angka di negeri ini, sememangnya memerlukan kerjasama semua pihak untuk mengambil tindakan sewajarnya bagi menangani masalah ini," katanya ketika ditemui selepas melawat PKRC Gelanggang Seni di sini, hari ini.

Dr Zaini berkata, setakat ini masih ada lebih 200 kluster di Kelantan termasuk kluster komuniti yang wujud susulan masih terdapat masyarakat yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti tidak memakai pelitup muka dan mengambil mudah akan penjarakan fizikal.

"Begitu juga dengan amalan ziarah yang turut dikategorikan dalam kluster komuniti. Masyarakat seharusnya peka dan mengambil iktibar melalui peningkatan kes yang tinggi hari ini.

"Bagaimanapun, setakat kita masih dapat mengurus situasi dengan baik melalui tenaga serta kemudahan yang ada. Kita tidak mahu sekiranya ada peningkatan mendadak tetapi masih dalam keadaan tidak bersedia," katanya.

Disiarkan pada: August 24, 2021 @ 3:43pm
d