vroom

Corolla pilihan dunia

Oleh Lizam Ridzuan

MODEL Corolla dilancarkan di Jepun pada 1966 oleh Toyota Motor Corporation.

Pada masa sama, Corolla mempunyai sejarah yang panjang untuk pasaran global dan tidak terkecuali di Malaysia.

Pada 1969, model itu mula dipasarkan di negara ini menerusi model KE10, ia juga pemasangan tempatan (CKD) pertama untuk Toyota di sini.

Ia dipasang di kilang di Shah Alam, Selangor yang ketika itu dimiliki oleh Inchcape Group menerusi kilang Champion Motors.

Pada 1975, ia dikenali sebagai Assembly Services Sdn Bhd (ASSB) dan turut memasang beberapa kenderaan jenama lain sebagai kontraktor.

Pada tahun-tahun awal, ASSB mengeluarkan kenderaan ini dalam jumlah besar hasil penerimaan pasaran yang baik untuk model Corolla.

Pada 1970-an, Toyota menjadi jenama kereta nombor satu di Malaysia dengan model Corolla adalah yang paling laris.

Ini kerana, Corolla menawarkan kereta untuk pelbagai kegunaan. Selain sedan, terdapat varian 'station wagon' buat peniaga kecil dan 'liftback' untuk gaya sporty.

Ia juga datang pada harga mampu milik, terbukti tahan lasak, memenuhi jangkaan prestasi serta kos penyelenggaraan menjimatkan.

Meskipun model permulaan, namun dengan permintaan yang semakin meningkat selain pengguna mahukan sebuah kereta yang tampil dengan ciri lebih premium, maka beberapa elemen diperkemaskan termasuk daripada segi rekaan.

Untuk itu, sejak generasi kesembilan, dengan konsep 'New Century Value', nama 'Altis' ditambah bagi melihatkan peningkatan kualiti, kemewahan serta saiz yang meletakkannya dalam kelas tersendiri.

Presiden UMW Toyota Motor (UMWT) Ravindran K berkata, Corolla sentiasa berubah mengikut peredaran masa sebagai sedan dinamik dan penggayaan mewah, tahap keselamatan tertinggi serta enjin mesra alam.

"Setiap generasi menjadi penyumbang kepada peralihan jenama ini. Sejak pengenalan model yang pertama, ia memacu kepada permulaan budaya permotoran dalam kalangan masyarakat dan selari dengan perubahan standard ekonomi di Malaysia.

"Setiap generasi baharu yang diperkenalkan memperlihatkan lebih ramai pelanggan baharu menyertai keluarga Toyota dan rata-ratanya lebih setia kepada model Corolla.

"Sebanyak 63 peratus pemilik model ini akan menukar-beli atau menaik taraf model lama kepada model generasi baharu sebaik dilancarkan dan satu pertiga pemilik Corolla akan membeli sebuah lagi sebagai kereta tambahan yang kemudian diwarisi anak-anak," katanya.

Peredaran zaman juga membawa perubahan dan sejak 2008, model Corolla mula dipasang di Thailand sebagai import sepenuhnya (CBU) untuk pasaran di Malaysia bagi memberi lebih pilihan kepada pelanggan.

Ia memberi kesan untuk tempoh antara 2010 hingga tahun lalu yang mana Corolla menyumbang sebanyak enam peratus daripada keseluruhan jualan Toyota di negara ini.

Untuk generasi ke-10, antara 2006 hingga 2012, ia menjadi generasi paling laris di Malaysia setakat ini yang terjual sekitar 40,000 unit.

Selepas 55 tahun, menerusi 12 generasi bagi disesuaikan dengan trend semasa, diperkenalkan kenderaan utiliti sukan (SUV) model Corolla Cross yang berada di pasaran Malaysia tahun lalu.

Sehingga kini, 300,000 Toyota Corolla sudah terjual di pasaran Malaysia.

Jumlah itu sebahagian daripada 50 juta unit yang terjual sejak ia diperkenalkan seterusnya mengekalkan ia sebagai kenderaan paling laris di dunia.

Disiarkan pada: August 29, 2021 @ 6:13am
d