mutakhir

i-Guru sokong sekolah jadi PPV untuk pelajar

Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru) menyokong jika sekolah dijadikan sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sebagai langkah mempermudahkan proses pemberian suntikan vaksin Covid-19 kepada pelajar.

Presidennya, Mohd Azizee Hasan berkata, selain memudahkan ibu bapa untuk membawa anak mereka ke sekolah, tindakan itu juga akan dapat memastikan semua pelajar tidak tercicir daripada mendapatkan suntikan vaksin.

"Ibu bapa juga akan dapat menjamin keselamatan pelajar serta menjimatkan kos pergerakan dan perbelanjaan mereka.

"Ini kerana ibu bapa tidak perlu mengambil masa yang panjang untuk bergerak ke PPV yang sedia ada yang mungkin terletak jauh dari kawasan kediaman.

"Bagi sekolah yang pelajarnya tidak ramai mungkin boleh menumpang ke sekolah atau pusat PPV yang berhampiran," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Beliau mengulas kemungkinan pembukaan PPV dalam kawasan sekolah bagi memudahkan proses pemberian vaksin terhadap pelajar.

Mengulas lanjut, Mohd Azizee berkata, sekolah juga boleh dijadikan PPV untuk komuniti sekolah yang masih belum menerima vaksin seperti guru, staf sokongan, pekerja kontrak sekolah dan sebagainya.

"Proses vaksinasi ini perlu berjalan lancar dan dipermudahkan kerana ia dilihat berkesan dalam usaha kerajaan mengurang dan menyekat penularan wabak berkenaan sekali gus mencapai imuniti berkelompok yang cepat.

"Kami yakin pihak sekolah tidak menghadapi masalah untuk bekerjasama dalam menjayakan usaha itu. Dalam masa sama, kita juga berharap pihak sekolah dapat mengumpul data dan melengkapkan maklumat pelajar untuk penerimaan vaksin ini sekali gus akan melancarkan lagi proses vaksinasi berkenaan.

"Usaha ini diyakini akan memberikan motivasi dan semangat kepada pelajar untuk kembali ke sekolah bagi mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara bersemuka serta memberi keyakinan kepada ibu bapa untuk sesi pembukaan sekolah nanti," katanya.

Beliau berkata, pihaknya berharap Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) dapat mempertimbangkan perkara itu.

Disiarkan pada: August 30, 2021 @ 2:06pm
d