rencana

Dah macam revolusi budaya!

Oleh Syah Rul Aswari Abdullah

China sudah lama dikenali dengan pelbagai polisi yang mungkin dianggap agak ekstrem atau kontroversi oleh masyarakat antarabangsa. Terbaharu, pihak berkuasanya mengumumkan pelancaran kempen untuk 'mengawal selia' kelab peminat di negara itu.

Menurut satu laporan CNN, Pentadbiran Ruang Siber China mengumumkan 10 langkah untuk 'membersihkan' apa yang dikatakan 'budaya toksik' yang berkait dengan kelab peminat di negara itu.

Sehari sebelum itu, platform video popular di negara itu, iQiyi membatalkan semua rancangan bakat idola yang disifatkan sebagai tidak sihat. Khamis lalu, pihak berkuasa melarang penyiaran program realiti pencarian bakat yang disifatkan membawa pengaruh buruk kepada anak muda di negara itu.

Reuters pula melaporkan agensi berkaitan akan mengambil tindakan terhadap sebarang penyebaran maklumat yang boleh menyebabkan kesan tidak baik menerusi kumpulan peminat selebriti. Selain itu, agensi berkaitan akan menutup saluran perbincangan yang menyebarkan skandal selebriti.

Selain itu, China memutuskan mana-mana platform sudah tidak lagi boleh menyiarkan senarai individu popular. Kumpulan peminat juga mesti dikawal selia dengan pihak berkuasa akan mengawal penjualan barang niaga (merchandise) membabitkan selebriti.

Khabar itu menimbulkan perdebatan hangat dalam kalangan netizen China. Ada yang menyamakan tindakan itu seperti Revolusi Kebudayaan iaitu dekad yang menyaksikan situasi politik dan sosial yang kacau-bilau antara 1966 dan 1976. Ketika itu, seni dan budaya dihadkan penggunaannya untuk mempromosikan jentera propaganda parti pemerintah.

Jadi, apa yang menyebabkan kerajaannya tiba-tiba campur tangan dengan mengambil langkah drastik ini? Sedangkan, industri hiburan membawa pulangan yang besar kepada ekonomi negara itu.

Berdasarkan beberapa laporan, ia antaranya disebabkan oleh contoh tidak baik yang ditunjukkan oleh beberapa selebriti. Kontroversi demi kontroversi membabitkan individu popular ini mempamerkan contoh tidak baik dengan ada antaranya jelas bertentangan dengan dasar kerajaan China.

Selain itu, kerajaannya bimbang dengan pengaruh kelab peminat ini yang mencetuskan 'huru-hara' di ruang maya. Contoh paling jelas apabila bintang pop Cina-Kanada, Kris Wu ditahan polis kerana disyaki terbabit serangan seksual, peminatnya 'berperang' di media sosial untuk mempertahankan artis itu.

Pada Januari, pelakon Zheng Shuang terbabit kontroversi membabitkan dua anak dengan pasangannya yang dilahirkan menerusi ibu tumpang (surrogacy) di Amerika Syarikat. Ia mencetuskan perdebatan memandangkan kaedah itu tidak dibenarkan di China.

Terbaharu, platform video di China mengeluarkan semua filem dibintangi atau diarahkan oleh pelakon popular China, Zhao Wei, daripada semua platform penstriman. Ia dilakukan atas alasan pelakon melanggar peraturan dan undang-undang.

Namun, jika difikirkan, ada logiknya peraturan kawalan ini. Jumlah pengguna internet China menghampiri satu bilion. Bayangkan betapa besar pula jumlah kelab peminatnya. Jika tidak dikawal selia, akan ada pelbagai masalah dan kesan buruk daripada 'pertelingkahan' peminat mana-mana selebriti.

Sedangkan industri hiburan Malaysia yang jauh lebih kecil pun sering kecoh dengan laporan kes perbalahan di ruang maya sehingga membawa kepada laporan polis dan kes mahkamah, sama ada membabitkan netizen dan artis. Bayangkan pula, 'masalah' yang mungkin timbul daripada jumlah netizen yang jumlahnya berkali-kali ganda lebih besar di China.

Penulis Penolong Pengarang Berita Harian Metro

Disiarkan pada: September 6, 2021 @ 7:00am
d