mutakhir

Padah tunjuk aksi bahaya, empat lelaki ditahan

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Tindakan empat lelaki menunggang motosikal secara bahaya dengan menunjukkan aksi di Plaza Tol Ayer Panas, Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (Duke) dan Jalan Kuching, di sini, mengundang padah apabila mereka ditahan dalam Operasi Samseng Jalanan, awal pagi hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, pihaknya menahan dua lelaki, masing-masing pekerja mekanik dan pelajar sekolah dalam operasi itu di Plaza Tol Ayer Panas, Lebuhraya Duke.

"Dua lagi lelaki yang juga pekerja kilang pula ditahan di Jalan Kuching. Kesemua mereka didapati menunggang motosikal secara berbahaya dengan melakukan aksi zig zag, roket, Superman dan bersaing.

"Semua individu yang ditahan dalam operasi ini berusia antara 15 hingga 25 tahun dan dibawa ke Balai Polis Trafik, Jalan Tun HS Lee untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sarifudin berkata, pihaknya menahan seorang lelaki berusia 25 tahun yang melakukan kesalahan di bawah Seksyen 108(3)(e) Akta Pengangkutan Jalan 1987 menerusi Operasi Motosikal, semalam.

"Selain itu, kami turut menahan seorang lagi lelaki berusia 29 tahun di Duta Kiara mengikut Seksyen 45(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh alkohol dalam operasi sama, semalam.

"JSPT Kuala Lumpur menjalankan Operasi Samseng Jalanan dan Operasi Motosikal di lima lokasi sekitar pusat bandar ini iaitu di Jalan Tun Razak, Jalan Loke Yew, Jalan Bangsar, Jalan Kuching serta Plaza Tol Ayer Panas, Lebuhraya Duke, bermula Jumaat lalu hingga awal pagi tadi.

"Seramai sembilan pegawai dan 61 anggota dari Unit Penguatkuasaan serta Unit Risikan dan Operasi JSPT Kuala Lumpur terbabit dalam operasi berkenaan yang bermula 9 malam hingga 4 pagi," katanya.

Beliau berkata, secara keseluruhannya, sebanyak 984 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dalam operasi terbabit.

"Kami turut menyita 43 motosikal mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan mengubah suai struktur kenderaan iaitu ekzos.

"Motosikal yang disita akan diambil tindakan dan pemeriksaan oleh pihak Jabatan Pengangkutan Jalan serta diarahkan mengubah ke struktur asal," katanya.

Disiarkan pada: September 12, 2021 @ 9:24am
d