mutakhir

'Terima kasih bantu kami'

Oleh Yusmizal Dolah Aling

Petaling Jaya: "Sudah lima bulan saya tidak bekerja kerana operasi pusat urut masih belum dibenarkan. Alhamdulillah dengan adanya bantuan ini, sedikit sebanyak mengurangkan beban saya dan rakan-rakan orang kurang upaya (OKU) penglihatan yang lain.

"Buat masa ini saya tak buat apa-apa, mujur masih ada wang simpanan, bolehlah buat belanja. Terima kasih kepada yang tampil membantu," kata Muhamad Afiq Ikhwan Zamberi.

Pemuda berusia 23 tahun itu sebelum ini bekerja sebagai tukang urut di Setiawangsa sejak dua tahun lalu dengan purata pendapatan RM30 sehari.

Dia yang berasal dari Taman Orked, Kuala Ketil, Kedah berkata, sepanjang pandemik ini dia tidak dapat bekerja susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Bagi saya dan isteri yang memang bekerja sebagai tukang urut, memang terasa ketika PKP. Kami hanya mengharapkan Elaun Pekerja Cacat, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM450 sebulan," katanya yang menerima bantuan dalam Program Serahan Bakul Makanan yang disampaikan Senator Datuk Razali Idris.

Seorang lagi penerima, Qairil Azry Zahrin, 26 berkata, bantuan diterima hari ini sangat bermakna kerana ia meringankan beban dia dan isterinya yang juga OKU penglihatan.

Katanya, sebelum ini beberapa pihak tampil menghulurkan bantuan kawasan rumahnya dan ia sedikit sebanyak membantu terutama mereka yang kehilangan pekerjaan.

Sementara itu, Razali berkata, pihaknya terpanggil untuk memberikan bantuan kepada OKU penglihatan yang terjejas pendapatan ketika PKP.

Katanya, ia adalah komitmen kerajaan untuk membantu mereka yang terkesan dan mendapat kerjasama daripada NGO MyCorps Alumni dan Yayasan Orang Buta Malaysia.

"Kali ini sasarannya adalah OKU yang cacat penglihatan. Jadi bekalan bahan mentah ini kita berikan untuk membantu meringankan beban mereka.

"Dalam keadaan Covid-19 ini ramai yang terkesan, termasuk juga mereka yang OKU yang sebelum ini pun sudah terkesan," katanya.

Dalam pada itu, Naib Presiden 2 My Corps Alumni, Amir Junaidi Amerrudin berkata, pihaknya tampil membantu OKU penglihatan di Projek Perumahan Rakyat Lembah Subang 2 itu untuk mereka menjalankan kehidupan ketika pandemik.

Katanya, sebelum ini, pihaknya menjalankan program membantu pelbagai lapisan masyarakat dan peringkat umur di seluruh negara.

"InsyaAllah kita akan teruskan menyantuni seramai mungkin terutama ketika musim pandemik ini," katanya.

Disiarkan pada: September 12, 2021 @ 12:49pm
d