mutakhir

Kertas siasatan Caprice, Nadir diserah ke Bukit Aman

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Siasatan kes membabitkan penyanyi rap, Ariz Ramli atau Caprice dan Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman diteliti Bukit Aman.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Ashari Abu Samah berkata, kertas siasatan sudah diserahkan ke Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang (D5) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman untuk penelitian.

"Kita dah serah (kertas siasatan) minggu lalu dan ia masih dalam penelitian pihak berkenaan, setakat ini kita belum terima apa-apa arahan selanjutnya.

"Sekiranya lengkap, kertas siasatan itu akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) untuk tindakan selanjutnya," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Ashari berkata, polis perlu menunggu arahan pihak DPP selepas itu sama ada meneruskan tindakan pendakwaan atau sebaliknya.

Pada 22 Julai lalu, pendakwah, Ebit Lew dilaporkan hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju untuk dirakam percakapan berkaitan isu misi kemanusiaan di Semenanjung Gaza, Palestin pada Julai lalu.

Susulan itu pada 2 September lalu, polis mengambil keterangan Caprice dan Muhammad Nadir menerusi emel.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 500 serta 504 Kanun Keseksaan, selain Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Disiarkan pada: September 14, 2021 @ 6:38pm
d