mutakhir

Wanita maut, tiga lagi tercampak ke luar kereta

Oleh Noorazura Abdul Rahman

Sik: Seorang ibu kepada empat anak maut selepas kereta dinaiki bersama suami, anak bongsu dan ibunya terbabas di Jalan Jeniang-Sik-Pedu di Kampung Surau, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintendan Abdull Razak Osman berkata, mangsa Siti Fatimah Md Noor, 30, meninggal dunia akibat kecederaan dalaman dalam kejadian pada 3 petang itu.

Beliau berkata, empat sekeluarga itu menaiki kereta Proton Waja dalam perjalanan dari rumah mereka di Kampung Belantik ke Pekan Sik.

"Apabila tiba di jalan selekoh di lokasi kejadian, kereta dipandu suaminya, Mohd Zamani Md Saad, 35, hilang kawalan lalu terbabas ke sebelah kanan jalan dan melanggar penghadang besi di tepi jalan sebelah kanan dari arah Belantik.

"Akibat kemalangan itu, pemandu serta dua penumpang iaitu bayi lelaki berusia lapan bulan serta ibu mangsa, Rokayah Che Oon, 60, tercampak ke luar kenderaan.

"Tiga mangsa yang tercampak keluar itu cedera manakala wanita terbabit meninggal dunia di dalam kereta di tempat kejadian," katanya dalam kenyataan di sini, malam ini.

Abdull Razak, berkata semua mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Sik untuk mendapatkan rawatan manakala mangsa meninggal dunia dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk bedah siasat.

Beliau berkata, bedah siasat akan dilakukan terhadap mangsa selepas keputusan ujian saringan Covid-19 diperoleh dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Disiarkan pada: September 14, 2021 @ 11:31pm
d