mutakhir

Bantu kembalikan semangat pesakit

Serdang: "Kami pernah menerima seorang pesakit Covid-19 wanita yang kelihatan tidak berapa stabil dari segi emosi dan dilihat kerap menangis.

"Selepas diselidik, rupa-rupanya pesakit wanita yang dipindahkan dari Hospital Sungai Buloh itu baru sahaja kematian suaminya akibat Covid-19 dan tiga anak mereka yang masih kecil juga sedang di kuarantin.

"Alhamdulillah, meskipun pesakit wanita itu berada ditahap empat dan memerlukan bantuan oksigen tahap tinggi, selepas rawatan selama 21 hari, dia berjaya sembuh dan kembali ke pangkuan anak-anaknya," kata Dr Nursafinas Rofii.

Menurut Dr Nursafinas, menjadi doktor yang bertugas di barisan hadapan bukan bermakna dia dan rakan hanya perlu menumpukan sepenuhnya perhatian terhadap penyembuhan pesakit Covid-19 semata-mata.

Sebaliknya, mereka juga perlu membantu mengembalikan semangat serta memulihkan emosi pesakit.

Kata Dr Nursafinas, setiap pesakit memiliki 'kisah' mereka sendiri dan doktor yang merawat tidak tahu penderitaan mereka jika tidak diluahkan.

"Apa yang dilalui oleh pesakit wanita itu (yang kehilangan suami akibat Covid-19) benar-benar meninggalkan kesan kepada saya sebagai petugas barisan hadapan.

"Ini kerana, di sebalik rawatan ubat-ubatan moden, pesakit juga kebanyakannya memerlukan sokongan semangat dan emosi selepas apa yang mereka lalui.

"Dalam hal ini, kami membantu setakat yang boleh dan jika pesakit memerlukan lebih pemerhatian, mereka akan dirujuk kepada pakar psikiatri," katanya.

Pegawai Perubatan berusia 30 tahun itu antara petugas barisan hadapan yang kini bertugas di Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia (HPUPM), Serdang.

Dr Nursafinas juga antara petugas barisan hadapan yang terpilih memenangi 30 Hari 30 Frontliners iaitu kempen anjuran Central Sugars Refinery (CSR), Hot FM, Fly FM dan Harian Metro.

Isteri kepada jurutera, Mohd Amir Ezan Muzni itu membawa pulang hadiah bernilai RM500 dan barangan keperluan.

Ia bagi menghargai dan tanda terima kasih terhadap kerja keras, pengorbanan serta penat lelah Dr Nursafinas dalam menjalankan tanggungjawab sebagai petugas barisan hadapan.

Disiarkan pada: September 15, 2021 @ 7:10am
d