mutakhir

Umum PPV 'walk-in' untuk remaja esok [METROTV]

Oleh Zanariah Abd Mutalib

Putrajaya: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mengumumkan esok senarai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang akan membolehkan remaja berusia 12 hingga 17 tahun hadir secara terus atau 'walk-in' bagi mendapatkan vaksinasi Covid-19.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata beberapa PPV sedia ada yang sedang beroperasi akan digunakan bagi pemberian suntikan vaksin Covid-19 kepada pelajar sekolah.

Katanya, ia adalah antara dua kaedah yang akan digunakan KKM bagi tujuan itu, selain secara jangkau luar di sekolah.

"Bagi kaedah jangkau luar, sebagai contoh, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya 8 (1) akan menjadi PPV sementara yang akan digunakan pada pada hari pemberian vaksin sahaja. Jika tidak cukup kakitangan KKM, kita akan mendapatkan khidmat pengamal perubatan swasta," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja di SMK Presint 8 (1) di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin dan Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.

Disiarkan pada: September 20, 2021 @ 11:51am
d