mutakhir

Vaksinasi walk-in hanya untuk remaja tidak bersekolah, pelajar IPT, home schooling [METROTV]

Oleh Suraya Roslan dan Redzuan Muharam

Kuala Lumpur: Pemberian vaksinasi secara 'walk-in' hanya dibenarkan untuk remaja yang tidak bersekolah, sedang belajar di institut pengajian tinggi awam atau swasta dan 'home schooling'.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, pemberian vaksinasi remaja secara berjadual di 156 pusat pemberian vaksin (PPV) awam, integrasi dan sekolah bermula semalam 23 September lalu.

"Saya ingin menasihatkan ibu bapa supaya tidak perlu bergegas ke PPV bersama anak untuk walk in vaksinasi kerana jadual janji temu vaksinasi remaja dibuat dengan kerjasama Pejabat Kesihatan dan Pejabat Pendidikan Daerah terlebih awal.

"Seterusnya pihak pengurusan sekolah melalui guru akan memaklumkan jadual vaksinasi mengikut giliran sekolah kepada ibu, bapa atau penjaga," katanya dalam satu sidang media khas hari ini.

Khairy berkata, ibu bapa atau penjaga mestilah membawa remaja mengikut tarikh janji temu yang ditetapkan dan kaedah vaksinasi berjadual dilakukan bagi mengelakkan daripada berlakunya kesesakan dan kluster jangkitan Covid-19.

"Bagi murid sekolah berasrama penuh dan harian, janji temu akan diberikan melalui aplikasi MySejahtera di mana remaja akan divaksinkan di sekolah atau PPV berdekatan tempat tinggal mereka, tunggu sehingga janji temu diberikan di dalam MySejahtera.

"Saya juga ingin mengingatkan semua PPV terbabit, pihak Pejabat Kesihatan Daerah dan juga Pejabat Pendidikan Daerah supaya mengikut arahan atau ketetapan yang diumumkan berhubung kaedah pemberian vaksin kepada remaja," katanya.

Menurutnya, pihaknya memohon supaya tidak ada arahan atau prosedur operasi standard (SOP) yang berbeza diberikan kepada ibu bapa bagi mengelakkan kekeliruan.

Disiarkan pada: September 24, 2021 @ 7:15pm
d