ku-bela

Kasih sayang pada si bulus

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

JANGAN sesekali membela kucing hanya disebabkan minat yang sementara.

Ini kerana memelihara kucing tidak kira baka tempatan mahupun import, ia memerlukan komitmen yang berpanjangan dan tidak ubah seperti menjaga bayi.

Pemilik Furvit Pet Industries Sdn Bhd, Johan Eskandar Mohamad Najib, 29, yang popular di laman sosial menerusi platform Johan and His Cats berkata, seperti haiwan bernyawa lain, kucing juga perlukan penjagaan, perhatian dan kasih sayang yang sepenuhnya daripada pemiliknya.

"Kucing sebenarnya tidak boleh tertekan kerana keadaan itu boleh menjejaskan kesihatannya.

"Baka import contohnya, perlu dijaga dalam rumah (indoor) dalam keadaan suhu persekitaran yang sesuai.

"Selain itu, kewangan penjaga juga perlu kukuh kerana kos menjaga kucing terutama baka import boleh memakan ribuan ringgit sebulan," katanya.

Dalam pada itu, kucing terutama jenis baka import perlu penjagaan rapi dan kukunya juga perlu dipotong dua minggu sekali.

Untuk penjagaan kesihatan lain pula, tahi mata kucing juga perlu dilap manakala telinga perlu dikorek seminggu sekali.

Bulu kucing juga perlu disikat sekali sehari dan diberi ubat kutu tiga bulan sekali.

Menurut Johan lagi, kucing juga tidak boleh dimandikan dengan kerap kerana ia mudah selesema dan demam.

Katanya, kekerapan yang sesuai adalah sekali atau dua kali sahaja dalam seminggu.

"Sisa buangan kucing juga perlu sentiasa dibersihkan dan pasirnya perlu ditukar sekerap mungkin.

"Memandangkan keadaan Covid-19 ketika ini, saya juga amalkan menyahkuman tangan dengan cecair pencuci kuman sebelum dan selepas memegang kucing.

"Ia bagi mengelakkan kucing terkena jangkitan kuman kerana jangkitan boleh berlaku daripada manusia kepada kucing," katanya.

Disiarkan pada: September 29, 2021 @ 6:30am
d