WM

Pakai bengkung ketika pantang

Oleh Nurul Husna Mahmud

RAMAI ibu muda mengelak daripada mengenakan bengkung atau barut ketika dalam tempoh berpantang kerana dikatakan tidak selesa selain kaedah mengikatnya dianggap rumit selain mengambil masa terlalu panjang.

Hakikatnya kaedah pemakaian bengkung yang rumit itu mempunyai 'hikmah' dalam memastikan 'dakapan' kain berkenaan kemas pada bahagian tubuh tertentu, sekali gus penting untuk pemulihan ibu selepas berpantang.

Menurut Pengetua Kemahiran Urut Teraputik dan Penjagaan Tradisional Melayu (Akuterapi) Bariah Hamid, rekaan bengkung tradisional seperti bengkung Melayu dan bengkung Jawa yang diwarisi daripada amalan nenek moyang terdahulu masih terbaik dalam pilihan bengkung moden ataupun 'pakaian dalam ketat'

bagi ibu berpantang.

"Dalam amalan berpantang membabitkan wanita bersalin, bengkung dipakai selepas hari kelima iaitu selesai lawas 'darah bantal' sehingga habis berpantang 44 hari.

"Hari kelima pemakaian bengkung turut disusuli pemakaian tapel basah. Antara tapel basah yang sesuai adalah tapel campuran jadam, halia bara, jeragau dan air asam jawa yang dimasak sehingga likat.

"Secara peribadi bengkung tradisi yang diperbuat daripada kain belacu antara terbaik kerana kemasannya memegang tubuh terutama apabila diikat atau dililit ia membantu memperbaiki postur badan wanita," katanya.

Tambah Bariah, biasanya pemakaian bengkung sangat membantu terutama membetulkan postur ibu yang menyusukan bayi mereka supaya dalam posisi tegak dan bukan membongkok.

"Kalau ibu mudah mengenakan bengkung dengan cara yang betul mereka boleh rasa kesan serta-merta iaitu ketika dalam posisi duduk menyusukan bayi. Mereka akan rasa postur dalam kedudukan menegak dan kain bengkung membantu memberi sokongan pada tubuh ketika itu.

"Bagi tempoh panjang, mereka tidak mengalami rasa lenguh dan sakit pada bahagian pinggang serta pinggul. Malah, pemakaian bengkung juga menjadikan bahagian otot atau tisu mengembang selepas melahirkan dapat 'diperkemaskan' atau dipulih semula," katanya.

Kebaikan lain bengkung kata Bariah, perut tidak mengelebeh selain kelihatan 'leper' selepas bersalin. Amalan itu juga memberi keselesaan kepada ibu apabila gejala kembung atau badan masuk angin.

Menjelaskan pula implikasi bagi mereka yang tidak mengenakan bengkung ketika berpantang, kesannya adalah selepas beberapa tahun atau ketika tempoh melahirkan cahaya mata berikutnya.

"Kesan tidak mengenakan bengkung bukan serta-merta dan kebiasaan penyakit seperti kembung perut atau sakit pinggang dirasai ketika proses kelahiran anak yang berikutnya.

"Senario paling buruk berlaku pada segelintir wanita yang mengabaikan penjagaan diri ketika pantang termasuk tidak mengenakan bengkung ialah peranakan jatuh," katanya.

Bariah turut menjelaskan bengkung juga pelbagai dan kebiasaan pengamal rawatan tradisi dan perbidanan mengetahui empat yang paling popular selain kerap digunakan mereka yang bersalin secara normal.

"Ada pelbagai jenis bengkung mengikut kesesuaian pemakai. Empat yang sering dikenakan wanita berpantang adalah bengkung Jawa lilit, bengkung Jawa simpul, bengkung tali dua zig zag dan bengkung tali tiga.

"Perlu diketahui kaedah betul mengenakan bengkung ialah dengan memulakan ikatan dari bawah iaitu pangkal ari-ari sehingga paras bawah dada atau dekat dengan ulu hati.

"Bagi pemakaian bengkung tradisi Melayu iaitu bengkung tali zig zag dan bengkung tali tiga adalah secara baring supaya ikatan menjadi lebih kemas kerana keadaan perut dalam posisi itu leper.

"Berbeza bagi bengkung Jawa baik lilit mahu pun bersimpul, kedua-duanya dipakai ketika dalam keadaan berdiri supaya lilitan dan ikatan menjadi kemas. Perlu juga alas kain bengkung dengan kain lain atau daun herba seperti daun mengkudu, sireh atau daun pisang hutan untuk elak tapel pada perut mengotorkan bengkung," katanya.

Beliau menyarankan setiap wanita perlu memiliki sekurang-kurangnya dua set bengkung bagi memudahkan jika salah satunya kotor dan perlu dicuci.

Akui Bariah, ada segelintir ibu yang berpantang tidak sesuai untuk mengenakan bengkung.

Bagi ibu yang bersalin secara pembedahan 'Caesarean Section'

(C-Sect), ada bengkung khas dan kaedah tersendiri.

"Ibu yang bersalin caesarean juga perlu mengenakan bengkung untuk bantu menyokong bahagian peranakan mereka.

"Perbezaannya ialah jenis bengkung digunakan lebih ringkas dan selesa digunakan.

"Biasanya bengkung ini ada pelekat yang mudah dilaras dan ditanggal mengikut kesesuaian pemakai.

"Jika bimbang bengkung itu memudaratkan luka bedah, boleh alihkan kedudukan pelekat ke bahagian belakang pinggang untuk menyokong postur pinggang serta pinggul," katanya.

Bagi wanita yang caesarean, kata Bariah pemakaian perlu selepas 14 hari selain tidak perlu mengenakan sepanjang hari.

"Mereka khuatir luka 'bentan' atau sebagainya boleh pakai mengikut keperluan, contohnya setiap hari mengenakan hanya lima jam dan untuk caesarean biasanya pemakaian bengkung selepas 14 hari berpantang," katanya.

Tip paling penting dalam pemilihan bengkung juga selain material ialah saiz yang betul.

Begitu juga dengan kes ibu selepas bersalin tidak boleh mengenakan bengkung kerana komplikasi kesihatan yang mereka ada. Ia berbalik kepada ibu yang memang ada masalah gastrik dan pedih ulu hati yang teruk.

"Masalah apendik juga antara penyebab ibu yang bersalin tidak dibenarkan mengenakan bengkung ketika berpantang. Memadai mereka menjalani tempoh berpantang dengan param, pilis dan tapel.

"Begitu juga mereka yang ada masalah asma yang mana mengenakan bengkung boleh menyebabkan mereka sukar bernafas. Bagi segelintir ibu yang berpantang mengalami masalah buasir yang teruk tidak digalakkan kerana khuatir mengundang stres pada mereka," katanya.

Dalam tempoh 30 tahun pengalaman Bariah mengendalikan ibu berpantang, beliau turut menerima permintaan dalam kalangan ibu lain bangsa yang mahu menjalani tempoh berpantang termasuk mengenakan bengkung kerana tahu kebaikan daripada amalan terbabit.

Disiarkan pada: October 5, 2021 @ 7:01am
d