santai

Bagai menyusur terowong

Oleh Hafiz Ithnin

PENGALAMAN baharu bagi penulis tatkala menjejakkan kaki ke Pulau Langkawi baru-baru ini apabila berpeluang menikmati aktiviti berkayak sejauh kira-kira 10 kilometer dari Tanjung Rhu menuju ke Pulau Bebilis.

Lebih menarik, aktiviti itu dapat dilakukan bersama rakan-rakan 'sekepala' yang gemar menerokai pulau pelancongan itu dengan cara tersendiri.

Cuaca baik kira-kira lima jam setengah berkayak menuju ke dua destinasi itu seakan-akan mengalu-alukan kehadiran kami.

Aktiviti itu diketuai Mohamad Aziz Abu Bakar yang mengakui laluan berkayak kami pada hari itu antara destinasi yang mudah dan popular untuk dilakukan.

Rakan penulis yang berpengalaman berkayak di pulau itu berkata, dengan hanya menyusuri pesisir Pantai Tanjung Rhu menerusi aktiviti berkayak, pengunjung dapat menikmati pemandangan yang menarik.

"Selain itu, ia juga boleh memberi pengalaman berbeza kepada anda yang gemarkan aktiviti lasak untuk ke Pulau Langkawi.

"Malah, lokasi Pantai Tanjung Rhu yang mengadap Thailand iaitu Pulau KoTaruto menjadi sempadannya membolehkan pengunjung melihat pulau itu dengan lebih dekat," katanya.

Sebelum memulakan aktiviti berkayak, penulis bersama sembilan rakan lain yang menggunakan kayak laut diberi taklimat ringkas oleh Mohamad Aziz.

Bukan hanya berkenaan destinasi dan kemungkinan cabaran yang perlu dihadapi, kami juga diberikan maklumat cara mengendalikan kayak.

Tambahan pula kami turut melakukan aktiviti 'water confidence' sebelum memulakan aktiviti berkayak supaya dapat menyesuaikan diri sekiranya berlaku insiden kayak terbalik.

Sebaik sahaja kayak diturunkan ke laut, mengawal keadaannya bukan perkara yang mudah kerana ketika itu pergerakan angin agak kuat dan sentiasa 'menolak' ke pesisir pantai.

Namun, apabila keadaan dapat dikawal, perjalanan kami menuju ke Pulau Bebilis berjalan lancar. Dari Pantai Tanjung Rhu, kelihatan begitu dekat destinasi yang dituju.

Hakikatnya, tidaklah begitu dekat. Mungkin bentuk pulau itu yang besar dan keadaan sekeliling yang tidak berawan menjadikannya kelihatan begitu dekat.

Sepanjang berkayak menuju ke Pulau Bebilis, penulis juga dapat melihat barisan resort dan tempat penginapan lain berada di Pantai Tanjung Rhu.

Tidak sekadar itu, penulis juga dapat merasai pengalaman melalui di bawah batuan karst salah satu pulau yang terletak berhampiran dengan Pulau Belibis yang agak cantik. Seakan-akan melalui di bawah sebuah terowong.

Sebaik tiba ke Pulai Belibis kira-kira 2.45 petang, kami berehat seketika sambil menikmati makan tengahari dan solat Zuhur.

Pulau Belibis adalah sebuah pulau yang tidak mempunyai penduduk namun manawarkan keindahan pantai.

Usai berehat lebih kurang sejam, kami memulakan perjalanan pulang melalui laluan teluk yang terletak di antara Pulau Belibis dan Pulau Gua.

Perjalanan pulang juga agak menarik kerana pemandangan di sekitar teluk berkenaan menawarkan panorama memukau dari atas kayak termasuk saujana indah beberapa gugusan pulau kecil dan batuan pulau di sekelilingnya.

Pada hemat penulis jika ke Pulau Langkawi, anda gemarkan aktiviti lasak mungkin boleh mengambil pakej kayak yang menawarkan pengalaman percutian yang berbeza. Cubalah!

Disiarkan pada: October 7, 2021 @ 7:02am
d