mutakhir

Operasi cari nelayan hilang dihentikan

Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Parit Buntar: Usaha menjejaki nelayan, Ch'ng Poh Chuan, 71, yang hilang sejak Selasa lalu akan dihentikan selepas pasukan penyelamat gagal menemui sebarang petunjuk di laut.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd Sharenliza Ghazali, berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) memasuki hari ke empat diperluaskan sehingga ke Pulau Pasir Hitam pada jarak 40 kilometer dari Perairan Kuala Gula di sini.

Menurutnya, memasuki hari keempat pencarian, pasukan penyelamat masih tidak menemui sebarang petunjuk termasuk sampan digunakan mangsa.

"Mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) SAR di laut, kita hanya akan menjalankan operasi mencari selama empat hari sahaja dan akan menamatkannya sekiranya tidak menemui mangsa atau petunjuk.

"Peluang menemui mangsa amat tipis melainkan ia tersangkut pada pukat nelayan," katanya selepas menerima kunjungan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Industri Makanan, Razman Zakaria yang turut sama menyertai operasi SAR tadi.

Mangsa sebelum ini dilaporkan hilangketika keluar menangkap ikan di Perairan Kuala Gula pada jam 11 pagi Selasa lalu.

"Kami tidak menolak kemungkinan mangsa hilang akibat kejadian ribut. Terdapat beberapa bot nelayan turut tenggelam akibat ribut pada hari sama namun berjaya menyelamatkan diri.

"Kami juga tidak mengetahui lokasi tepat mangsa dilaporkan hilang namun barangan peribadi mangsa dijumpai tersangkut di sangkar ikan di Perairan Kuala Gula," katanya.

Disiarkan pada: October 8, 2021 @ 2:15pm
d