mutakhir

Pelombong emas haram sorok barangan dalam banir balak

Oleh Juwan Riduan

Lahad Datu: Pasukan Gerakan Am (PGA) menemukan peralatan dan kelengkapan dipercayai untuk aktiviti melombong emas haram di Sungai Bole Ulu Segama-Malua, di sini, semalam.

Dalam operasi Op Bersepadu Khazanah pada 8 pagi, pelbagai barangan termasuk makanan dan pakaian turut ditemui.

Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Abdul Rani Alias berkata, hasil pemantauan, pasukan operasi menemui semua barangan itu disembunyikan dalam banir pokok balak yang besar.

Katanya, pihaknya percaya barangan berkenaan milik pelombong haram berdasarkan penemuan 'dump' peralatan melombong emas.

"Turut ditemui barangan peribadi seperti pakaian dan bahan makanan untuk kegunaan individu yang menjalankan aktiviti melombong emas secara haram.

"Semua peralatan dan kelengkapan itu kemudian dimusnahkan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, laporan polis turut dibuat bagi tindakan lanjut daripada agensi berkaitan.

Disiarkan pada: October 11, 2021 @ 1:49pm
d