mutakhir

Lelaki positif Covid-19 maut kemalangan

Oleh Izad Thaqif Hassan

Sungai Petani: Lelaki positif Covid-19 ingkar perintah kuarantin maut apabila motosikal ditunggang merempuh trak pikap selepas langgar lampu isyarat merah berhampiran Institut Kemahiran Mara (IKM) di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 11 pagi itu, mangsa berusia 25 tahun yang memakai gelang pink itu meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala manakala pemandu Mitsubishi Triton, lelaki berusia 46 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintendan Anuar Abd Rahman berkata, hasil siasatan awal mendapati pemandu trak pikap yang bekerja sebagai tukang paip itu dari arah Kelab Cinta Sayang menghala ke Lagenda Height.

Menurutnya, ketika trak pikap itu bergerak sejurus lampu isyarat merah bertukar hijau, tiba-tiba motosikal ditunggang mangsa datang dari arah kiri merempuh bahagian kanan trak pikap terbabit.

"Pemeriksaan mendapati mangsa menunggang motosikal dengan laju dan turut melanggar lampu isyarat merah.

"Mangsa meninggal dunia di lokasi akibat parah kepala dan kejadian turut dilihat beberapa saksi yang menggunakan laluan terbabit," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Anuar berkata, semakan dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati mangsa disahkan positif Covid-19 dan memakai gelang pink.

"Selain itu, siasatan lanjut juga mendapati mangsa adalah orang dikehendaki polis serta mempunyai 14 rekod lampau bersabit kes dadah dan jenayah.

"Mayat dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Disiarkan pada: October 16, 2021 @ 3:13pm
d