mutakhir

Buat manfaat 395,123 pekebun kecil RISDA

Oleh Noorazura Abdul Rahman

Padang Terap: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) sudah menyalurkan keseluruhan bantuan berjumlah RM396.5 juta kepada pekebun kecil bagi meningkatkan ekonomi mereka menerusi pelbagai program dilaksanakan dibawah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA).

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, peruntukan bantuan tahun ini memberi manfaat kepada 395,123 orang pekebun kecil RISDA seluruh negara dan selebihnya adalah penerima yang masih dalam bantuan pada tahun-tahun sebelumnya.

"Bagi kemajuan program tanam semula getah, RISDA meningkatkan bantuan tanam semula kepada RM13,710 untuk Semenanjung, RM14,955 di Sabah dan RM14,805 di Sarawak.

"Tahun ini sahaja RISDA berjaya membangunkan tanam semula getah seluas 10,495 hektar membabitkan seramai 12,507 orang pekebun kecil," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pekebun Kecil Makmur RISDA Negeri Kedah, di Dewan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Naka, baru-baru ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim, Pengerusi RISDA, Datuk Mohd Salim Mohd Sharif dan Ketua Pengarah RISDA, Abdullah Zainal.

Selain itu, Mahdzir yang juga Ahli Parlimen Padang Terap berkata, RISDA juga menaik taraf jalan pertanian sebanyak 527 kilometer (km) dan 75km sistem perparitan termasuk menyiapkan 705 unit pembetung untuk kemudahan pekebun kecil.

Katanya, bagi tujuan meningkatkan produktiviti dan memudahkan pekebun kecil melakukan aktiviti pemasaran, sebanyak RM3.83 juta dibelanjakan untuk pembinaan prasarana pemasaran di kawasan yang berkenaan.

Terdahulu, Mahdzir turut menyampaikan bantuan musim tengkujuh dan bakul makanan kepada mangsa banjir kilat di daerah itu.

Bantu ubah kehidupan anak pekebun kecil

"Terima kasih kepada Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) kerana membantu anak pekebun kecil seperti saya sehingga berjaya dalam perniagaan," kata Fadhilah Azmi, 44.

Pengusaha perniagaan percetakan, sulaman dan pengiklanan di Pekan Kuala Nerang itu berkata, beliau menerima bantuan berbentuk peralatan berkaitan sebanyak RM70,000 daripada RISDA selepas membuka syarikat DZ Print pada 2009.

Katanya, bantuan itu diterima secara berperingkat iaitu sebanyak RM20,000 pada 2014 menerusi program Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET) RISDA dan RM50,000 pada 2018 menerusi program Groombig RISDA.

"Alhamdulillah, bantuan diberikan RISDA mengubah perniagaan kecil saya kepada yang lebih besar sekarang, selain daripada bantuan peralatan, RISDA turut memberi bimbingan dan kursus supaya kami berada di landasan yang betul untuk berjaya.

"Ini kelebihan yang ada pada RISDA, saya juga turut mendapat dua anugerah daripada RISDA iaitu Anugerah Usahawan Inovasi 2015 dan Anugerah Usahawan Belia Wanita pada 2017, anugerah ini benar-benar memberi semangat kepada saya untuk lebih maju dalam perniagaan," katanya yang berasal dari Kampung Pasir Putih, Mukim Tualak, Padang Terap.

Bagi pengusaha House Boat di Tasik Pedu, Amir Wahab, 48, berkata, beliau bersyukur dengan bantuan penjana elektrik bernilai RM10,000 diterimanya baru-baru ini, sekali gus menjimatkan penggunaan petrol.

Katanya, bantuan itu ibarat sokongan moral yang luar biasa untuk dirinya meneruskan kelangsungan perniagaannya dalam pelancongan yang turut terjejas akibat pandemik Covid-19.

"House Boat ini saya usahakan sejak 2013, sebelum ini saya menerima kedatangan pelancong dari dalam dan luar negara dengan penjana elektrik lama penggunaan petrol untuk sehari adalah kira-kira RM40, namun dengan peralatan baharu ini, saya dapat jimat separuh penggunaan petrol.

"Terima kasih RISDA kerana membantu meningkatkan taraf ekonomi anak pekebun kecil di kawasan pedalaman," kata bapa kepada lima orang anak ini.

Fadhilah dan Amir ditemui selepas lawatan kerja Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Pengerusi RISDA Datuk Mohd Salim Mohd Sharif ke premis mereka.

Sementara itu, Mohd Salim ketika ditemui berkata, tahun ini RISDA melahirkan 2,326 usahawan dengan peruntukkan sebanyak RM19.9 juta.

"Daripada jumlah itu, 402 adalah usahawan daripada Kedah dengan bantuan RM3.8 juta," katanya.

Disiarkan pada: October 18, 2021 @ 9:29am
d