WM

Bergaya dengan kain tenun

Oleh Nurul Husna Mahmud

DI KAMPUNG Pulau Keladi, Pekan, Pahang Nortipah Abdul Kadir dan anak perempuannya adalah sebahagian daripada komuniti penenun kecil yang giat memelihara warisan songket tenunan tangan yang diturunkan dari nenek moyang mereka.

Begitu juga, di dataran tinggi tengah Vietnam, enam kumpulan etnik minoriti membentuk jaringan untuk memelihara warisan tenunan tradisional masyarakat tempatan.

Sementara penenun ASPPUK iaitu kelompok wanita yang menjadi mangsa keganasan dan bencana, ketua keluarga wanita dan pekerja migran di Sumatera Barat serta dari kepulauan gunung berapi seperti di Lombok Indonesia juga adalah mereka yang mengusahakan aktiviti tenunan tekstil secara tradisi.

Meskipun berbeza demografi dan latar belakang, misi kelompok penenun tradisi ini sama apabila menghasilkan produk fabrik tradisi menerusi kerja tangan yang rumit dan digayakan golongan berstatus tinggi seperti keluarga diraja mahupun bangsawan.

Di sebalik karya seni yang indah apabila bertahan berabad lamanya, penenun ini menghadapi cabaran getir dalam mempertahankan kain tenunan tradisi masing-masing.

Menyedari kesukaran golongan itu, Yayasan Maybank menerusi program Women Eco-Weavers bekerjasama dengan Persatuan Promosi dan Pembangunan Kraftangan ASEAN (AHPADA) dan syarikat sosial Malaysia, Tanoti menganjurkan Minggu Fesyen TENUN yang berlangsung menerusi dalam talian selama tiga hari baru-baru ini.

Menurut Pengerusi Maybank, Tan Sri Zamzamraini Mohd Isa, Minggu Fesyen TENUN adalah acara fesyen pertama seumpamanya yang memfokuskan kerja tenunan kain tangan dengan inisiatif keberadaan dalam fesnyen moden selain meraikan komuniti itu di peringkat Asia Tenggara.

"Maybank teruja dapat menganjurkan Minggu Fesyen TENUN apabila dapat menyatukan kepelbagaian tenunan fabrik untuk pertama kalinya bagi dihayati penonton secara digital.

"Dengan menggunakan fesyen untuk menyoroti selok-belok tradisi tekstil, harapan kami supaya inisiatif ini dapat membantu mengekalkan komuniti tenun dan memelihara warisan budaya yang kaya di rantau ini," katanya.

Bagi Presiden Kehormat AHPADA, Edric Ong, pertunjukan itu diharap membuka mata luar mengenai relevannya produk tradisi bagi fesyen moden.

"Minggu Fesyen TENUN dapat menunjukkan kerja tangan masyarakat yang membuat tekstil masih relevan dengan fesyen terkini.

"Kami juga ingin mempamerkan Asia Tenggara sebagai pusat kecemerlangan tekstil dan inovasi, menggunakan metodologi berpusatkan masyarakat untuk menghasilkan kain tenun," katanya.

Menyentuh kepada kemampuan dan kepakaran dimiliki golongan terbabit untuk kekal relevan dengan kepelbagaian inovasi tekstil, kata Edric, komuniti ini hanya perlukan platfom dan dorongan supaya dapat diterima.

"Sebilangan besar komuniti yang menghasilkan kain ini tidak mempunyai sumber yang mencukupi. Mereka tidak memiliki akses ke pasar atau dana atau sokongan yang diperlukan.

"Namun, apa yang mereka ada ialah kerajinan unik mereka dan kisah menakjubkan yang sesuai dengan mereka. Oleh itu, platform ini bertujuan membawa mereka ke tempat terbuka untuk dilihat oleh semua orang, meningkatkan penglihatan mereka dan seterusnya, kebolehpasaran serta keuntungan mereka," katanya.

Menampilkan 45 komuniti tenun dari Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Filipina, Thailand dan Vietnam, TENUN adalah temasya terbesar dalam mengumpul kelompok pembuat kain tradisi berkenaan.

Acara terbabit turut mendapat perhatian Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Malaysia, Datuk Sri Nancy Shukri, yang juga berasal dari keturunan penenun.

"Tekstil tenunan tangan adalah teras budaya kita. Kita perlu menyokong tenunan tangan tradisional kita kerana tanpanya, bahagian penting dari orang kita akan hilang.

"Industri tenunan tangan adalah sebahagian besar eksport budaya kita. Ia memiliki kekuatan untuk menyara keluarga, mengekalkan masyarakat dan menyumbang kepada ekonomi negara,"

katanya dalam satu sedutan yang dirakam untuk acara terbabit.

Disiarkan pada: October 23, 2021 @ 6:20am
d