mutakhir

KJ bidas ahli politik abai SOP

Oleh Ilah Hafiz Aziz

Kuala Lumpur: Jika semalam, Khairy Jamaluddin Abu Bakar memberi peringatan kepada orang awam untuk memakai pelitup muka selepas menjamu selera di premis makanan.

Hari ini, Menteri Kesihatan itu membidas ahli politik yang sengaja mengabaikan prosedur operasi standard itu (SOP) berkenaan.

Teguran yang diberikan Khairy Jamaluddin di Instagram Story itu juga dilihat tidak lagi bernada lembut.

Sebaliknya, beliau mengingatkan sejarah penyakit tidak berjangkit (NCD) yang dihidapi kebanyakan ahli politik, yang boleh mempengaruhi jangkitan dan kemasukan hospital.

"Bukan lagi peringatan agak mesra. Pakai pelitup muka. Terutamanya ahli politik.

"Semakin ramai rakan sekerja saya dilihat dalam gambar pada mesyuarat tanpa memakai pelitup muka.

"Banyak ahli politik mempunyai diabetes, hipertension (tekanan darah tinggi) dan mungkin kegemukan," katanya.

Khairy Jamaluddin turut mengingatkan situasi yang terjadi di United Kingdom (UK) yang kini berdepan kenaikan kes disebabkan ramai yang enggan memakai pelitup muka.

"Jika anda mendapat Covid-19, walaupun sudah divaksin, ia bukan sesuatu yang menyeronokkan.

"Beberapa bahagian UK kini berdepan dengan gelombang, kerana mereka enggan untuk memakai pelitup muka. Jangan jadi seperti UK, pakailah pelitup muka," katanya.

Khairy Jamaluddin semalam menasihati orang ramai memakai pelitup muka jika hendak bersembang atau melepak selepas menjamu selera di kedai makan.

Beliau berkata, ketika ini ramai individu dilihat tidak memakai pelitup muka selepas makan dan bersembang dengan mengabaikan SOP itu.

Disiarkan pada: October 23, 2021 @ 1:08pm
d