mutakhir

PRN Melaka: Tiada masalah kempen 'online'

Oleh Nazri Abu Bakar

Melaka: Jentera Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka perlu melakukan pelarasan berhubung kempen secara dalam talian memandangkan pendekatan itu sesuatu yang baru bagi parti.

Bagaimanapun, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, beliau yakin ahli parti mampu melaksanakan kempen berkenaan dengan baik.

"Pendekatan kempen ini diakui penting bagi menjaga keselamatan dan kesihatan masyarakat umum sepanjang tempoh berkempen dan PRN," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat warga emas yang uzur Bahari Abd Rahman, 75, di Taman Beringin Masjid Tanah, di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Badan Perhubungan Umno Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Mengenai isu penggabungan, Najib yang juga Pengerusi Penasihat Barisan Nasional (BN) berkata, beliau menyerahkan kepada parti untuk memutuskannya.

Katanya, ia penting kerana PRN Melaka mampu menjadi templat kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Sementara Ab Rauf berkata, Umno belum memutuskan sama ada bergerak solo atau bergabung dengan mana-mana parti dalam PRN Melaka.

Katanya, keputusan akan diketahui selepas Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Khamis depan.

Sementara, keputusan pengagihan kerusi peringkat BN di Melaka akan diputuskan dalam Mesyuarat Presiden-presiden Parti BN yang dijadualkan diadakan esok.

Disiarkan pada: October 24, 2021 @ 2:50pm
d