itmetro

Cip teknologi baharu

Oleh Muhammad Saufi Hassan

PEMBANGUNAN cip pemproses pada hari ini mempengaruhi keupayaan keseluruhan sesuatu peranti termasuk bagi suatu proses yang kompleks seperti sintesis video resolusi ultra tinggi sehingga kepada animasi ataupun perisian kejuruteraan.

Ia umpama 'otak' dalam sesebuah perkakas untuk melaksanakan sebarang proses malah perkakas itu akan menentukan prestasi efisien peranti.

Segmen pembuatan cip berkuasa ini juga lebih terbuka pada hari ini berbanding suatu tempoh dulu apa bila ia hanya didominasi oleh sejumlah kecil pemain industri saja.

Baru-baru ini, syarikat peneraju teknologi terkemuka, Apple mengumumkan siri cip silikon mereka yang baharu sekali gus menjadi kesinambungan kepada pemproses pertama mereka iaitu Apple M1.

Menerusi cip baharu itu, Apple masih mengekalkan kod nama 'M1' namun kali ini ia didatangkan dengan dua variasi iaitu M1 Pro dan M1 Max yang menjanjikan keupayaan 70 peratus lebih baik daripada M1 termasuk proses kompleks seperti padanan perisian Xcode.

Naib Presiden Kanan Teknologi Perkakasan Apple, Johny Srouji berkata, cip M1 sudah mengubah sistem kami yang paling popular dengan prestasi luar biasa sekali gus menjadi kuasa peneraju industri hasil daripada teknologi berkenaan.

"Peningkatan prestasi Unit Pemproses Utama (CPU) dan Unit Pemproses Grafik (GPU) yang besar hingga enam kali memori 'bandwidth'.

"Cip M1 Pro dan M1 Max ini menghasilkan prestasi yang jauh lebih baik dalam pemproses pelbagai operasi kompleks termasuk optimasi ProRes serta teknologi termaju yang lain," katanya.

M1 Pro dan M1 Max didatangkan dengan teknologi binaan 'sistem di atas cip' atau 'SoC' dan antara ciri khusus yang ditampilkan adalah penyatuan keupayaan memori sekali gus menghasilkan kecekapan guna tenaga peranti secara keseluruhannya.

Jika melihat kepada cip pemproses berprestasi tinggi sebelum generasi Apple M1 diperkenalkan, kecekapan tenaga sesebuah peranti antara kesan besar yang dirasai oleh pengguna.

Keupayaan cip termaju itu sekali gus memberikan satu dimensi baharu di dalam segmen industri dan pastinya ia dapat dimanfaatkan oleh pelbagai peringkat pengguna daripada golongan profesional sehingga kepada pengguna biasa.

Masa depan dunia cip silikon pada hari ini lebih terbuka berbanding sedekad lalu apabila ia boleh dikatakan 'dikawal' oleh jumlah kecil pemain industri saja dan kini, Apple memberikan dimensi baharu kepada keupayaan cip era teknologi tinggi.

Menyentuh aspek pengguna profesional, sebelum ini agak sukar untuk melaksanakan tugasan kompleks seperti sintesis video resolusi ultra tinggi antaranya 8K untuk perkakas biasa mahupun sintesis animasi tiga dimensi (3D).

Melihat kepada perspektif yang lebih besar, pengguna akan menikmati keupayaan cip pemproses daripada generasi Apple M1 ini dan pastinya syarikat berkenaan akan mengekalkan kesinambungan penghasilannya pada masa depan.

Disiarkan pada: October 26, 2021 @ 6:20am
d