mutakhir

Kawanan gajah liar risaukan pengguna jalan raya

Oleh Roselan Ab Malek

Jerantut: Kawanan gajah liar dalam kumpulan besar sering kelihatan di sepanjang jalan utama Ulu Tembeling dari Kuala Tahan ke Kampung Bukit Mat Daling, sejak kebelakangan ini, sehingga merisaukan pengguna jalan berkenaan.

Dalam kejadian terbaru semalam, sekumpulan 30 gajah liar kelihatan berkeliaran di tepi jalan utama ke Ulu Tembeling berhampiran dengan ladang getah milik Yayasan Pahang di Kampung Kuala Sat.

Penduduk Kampung Kuala Sat, ZulkifliDin, 53, berkata, pada 6 petang semalam, dia melihat kumpulan gajah liar itu berkeliaran di tepi jalan.

"Ketika melalui jalan itu, saya terserempak dengan kawanan gajah itu yang sedang leka makan tumbuh-tumbuhan di tepi jalan.

"Walaupun setakat ini gajah itu tidak mengganggu penduduk yang melalui jalan itu, kami turut bimbang jika gajah itu akan bertindak ganas sekiranya ada penduduk mengganggu kawanannya," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kesejahteraan Kampung (JKKK) Kuala Sat, Abdul Jabar Dollah berkata, beliau sudah memaklumkan perkara itu kepada Jabatan JabatanPerlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan selanjutnya.

Beliau berharap Perhilitan dapat mengambil tindakan sewajarnya demi untuk keselamatan pengguna agar tidak diganggu gajah itu.

Disiarkan pada: October 27, 2021 @ 5:08pm
d