mutakhir

Tambah perangkap sampah mesra alam, tangani banjir kilat

Oleh Omar Ahmad

Johor Bahru: Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) akan menambah bilangan perangkap sampah mesra alam di tiga lokasi baharu tahun hadapan bagi menangani masalah banjir kilat di bandar raya ini.

Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Noorazam Osman berkata, tiga lokasi itu ialah di Parit Utama di Taman Tampoi Utama, Taman Johor dan Jalan Abdul Samad dengan anggaran kos sebanyak RM600,000.

Katanya, perangkap sampah mesra alam juga berfungsi untuk mengurangkan pencemaran sampah sarap di laluan saliran air serta meningkatkan tahap kebersihan air sungai, mengelakkan punca wabak penyakit dan mengurangkan penggunaan tenaga manusia untuk memastikan kebersihan sungai dan saliran di dalam bandar terus terjamin.

"MBJB juga mengenal pasti antara punca kejadian banjir kilat di bandar raya ini adalah akibat sistem pam air sedia ada yang tidak dapat berfungsi dengan sempurna ketika hujan lebat dan air pasang.

"Justeru itu, dua unit pam air automatik akan dipasang di Kampung Pasir di Skudai untuk menggantikan pam manual sedia ada yang dijangka siap pada Ogos tahun depan dengan anggaran kos RM3 juta," katanya ketika berucap sempena Mesyuarat Penuh Bilangan-9 di Dewan Inai Merah, Menara MBJB di sini, hari ini.

Menurut Noorazam, MBJB juga akan menambah dan menaik taraf rumah pam Sungai Segget, sistem pam Masjid Kolam Ayer dan sistem pam Surau Kampung Tambatan dengan anggaran kos keseluruhan RM4.5 juta.

Selain itu, pihaknya juga akan melaksanakan Kajian Rancangan Kawasan Khas (RKK) Sungai Tebrau bagi memelihara ekosistem sungai dan sumber air di bandar raya ini.

"Kawasan liputan lembangan Sungai Tebrau yang terletak dalam kawasan MBJB adalah seluar 18,955 hektar iaitu 75 peratus daripada luas keseluruhan lembangan sungai.

"Objektif kajian ini adalah untuk menyediakan pelan tindakan pelaksanaan dan pengurusan yang meliputi pemeliharaan dan peningkatan kualiti alam sekitar Lembangan Sungai Tebrau.

"Ia sekali gus meningkatkan potensi koridor sungai sebagai rangkaian hijau bagi tujuan rekreasi, pelancongan dan biodiversiti. Kajian ini dijangka siap menjelang November 2022," katanya.

Disiarkan pada: October 28, 2021 @ 1:03pm
d