utama

Harap pembunuh Nurin ditahan

Oleh Skuad Khas Harian Metro

Kuala Lumpur: "Sejak dari awal, saya reda dan terima bahawa kanak-kanak ditemui itu anak saya," kata Norazian Bistaman, 49, yang juga ibu Nurin Jazlin Jazimin.

Norazian berkata, dia meletakkan harapan supaya pembunuh Nurin ditahan dan kes itu diselesaikan segera.

"Kami sudah kebumi dia. Harapan saya supaya kes ini cepat selesai dan pembunuh Nurin ditahan.

"Dengan penahanan pembunuh itu, saya harap pelakunya diberikan hukuman setimpal," katanya ketika dihubungi, kelmarin.

Mengulas mengenai penafian bapa Nurin yang juga bekas suami, Jazimin Abdul Jalil bahawa kanak-kanak yang ditemui itu bukan anak mereka, dia berkata, mana-mana pihak yang membuat kenyataan berkenaan diminta mencari Nurin atau mendapatkannya semula.

"Pada saya, sesiapa sahaja termasuk bapanya yang menyatakan bahawa Nurin masih hidup, saya minta pihak berkenaan cari dan dapatkannya untuk serahkan semula kepada kami.

"Bagi saya, tidak perlu menyalahkan mana-mana pihak dalam perkara ini. Sepatutnya kita berterima kasih kepada semua pihak yang berusaha dalam kes ini," katanya.

Menurutnya, dia menerima takdir Allah bahawa kanak-kanak ditemui mati itu adalah Nurin.

"Allah pilih anak saya untuk menegur kita semua dengan apa yang berlaku terhadapnya (dibunuh).

"Apa yang menimpa Nurin adalah perkara yang perlu kita ingat supaya lebih berhati-hati," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Nurin Jazlin yang berusia lapan tahun ketika itu hilang semasa keluar ke pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju, di sini jam 8 malam, 20 Ogos 2007.

Dia yang menghidap komplikasi buah pinggang dan darah tinggi dilaporkan hilang ketika keluar berseorangan untuk membeli sepit rambut di pasar malam itu.

Penjenayah yang dikatakan menculiknya menyumbat mayat mangsa dalam beg sukan sebelum ditinggalkan di hadapan rumah kedai di PJS 1/48, Petaling Jaya. Mayat itu ditemui pemilik kedai sebelum diadukan pada polis.

Polis berusaha menjejaki suspek berdasarkan rakaman kamera litar tertutup di lokasi kejadian namun kualiti video yang kurang jelas menyukarkan polis mengecam wajah suspek.

Berita berkaitan

Disiarkan pada: October 29, 2021 @ 7:05am
d