mutakhir

Polis siasat kes amuk lelaki bertatu

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Serdang: Lelaki berbadan besar dan bertatu bertindak memukul jurugambar lelaki yang sedang memakai topi keledar ketika berbincang selepas mereka terbabit dalam kemalangan di Jalan Besar Seri Kembangan di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner A Anbalagan berkata, mangsa yang menunggang motosikal terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda dalam kejadian pada 4.50 petang itu.

Menurutnya, pada mulanya mangsa sempat menghentikan motosikalnya daripada dilanggar kenderaan itu namun suspek secara tiba-tiba mengundur menyebabkan motosikalnya terperosok di bawah pacuan empat roda terbabit.

"Ketika sedang bercakap untuk menyelesaikan kemalangan itu, pemandu kereta terbabit naik angin dan memukul cermin topi keledar milik pengadu dan menyebabkannya retak.

"Siasatan hasil rakaman percakapan mangsa mendapati dia tidak mengenali suspek," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Anbalagan berkata, terdapat rakaman 'dashcam' milik saksi di lokasi kejadian dan siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan," katanya.

Disiarkan pada: October 30, 2021 @ 5:33pm
d