mutakhir

16 mangsa terperangkap banjir diselamatkan

Oleh Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: "Dua hari lalu, rumah di kawasan kampung ini dinaiki air akibat banjir kilat namun belum sempat nak cuci rumah, sekali lagi air masuk hari ini selepas hujan lebat hampir sejam," kata Rosli Said, 53.

Dalam kejadian pada 4 petang itu, lima rumah di Kampung Kotan, Mukim Jabi terjejas akibat banjir kilat dan dinaiki air kira-kira dua meter menyebabkan 16 mangsa daripada tiga keluarga dipindahkan ke tempat selamat.

Kesemua mangsa yang terperangkap dalam kejadian banjir kilat itu dipindahkan dengan bantuan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pokok Sena dan Alor Setar menggunakan sebuah bot aluminium.

Menurut Rosli, kejadian berlaku terlalu cepat dan dia hanya mampu menyimpan barangan penting saja sebelum naik ke tingkat atas rumah untuk berlindung sementara menunggu bantuan tiba.

Katanya, dia dan isterinya, Hasnah Mohd Noor, 50, hanya mampu berada dalam rumah sementara menunggu bantuan pihak bomba tiba untuk dibawa ke tempat selamat.

Bagi, Muhd Ridzuan Saad, 44, berkata, dia bimbangkan keselamatan ibu saudaranya yang mengalami masalah penglihatan kerana dia tinggal seorang diri ketika kejadian.

Katanya, dia dimaklumkan paras air agak tinggi dan berharap ibu saudaranya ketika itu duduk di tingkat atas rumah dapat bertahan sehingga bantuan tiba.

"Syukur dia berjaya diselamatkan keluar dari rumah sebaik pasukan bomba tiba dengan menaiki bot kerana paras air terlalu tinggi," katanya.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian banjir kilat di kampung itu pada 5.34 petang.

Menurutnya, pihaknya berjaya memindahkan 16 mangsa yang terdiri dari dua warga emas, lapan dewasa dan dua kanak-kanak yang terperangkap selepas rumah mereka dinaiki air.

"Anggaran jarak dari jalan ke rumah mangsa sejauh 500 meter dan pemantauan turut dilakukan di kawasan yang dinaiki air," katanya.

Tinjauan juga mendapati laluan Pokok Sena ke Kuala Nerang terputus seketika akibat banjir kilat yang menenggelamkan jalan raya berhampiran Kampung Kolon di sini.

Berikutan itu, kenderaan yang dalam perjalanan dari arah Alor Setar ke Pekan Pokok Sena diarah berpatah balik bagi mengelak kenderaan terkandas dalam air.

Sementara itu, mangsa banjir yang dipindahkan ke lima pusat pemindahan sementara (PPS) di dua daerah di Kedah meningkat kepada 243 orang dari 65 keluarga pada 8 malam ini berbanding 241 dari 64 keluarga yang dilaporkan pagi hari ini.

Ketua Bahagian Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah Mejar (PA) Mohd Muaz Mohd Yusof berkata, pertambahan itu membabitkan jumlah mangsa di Dewan Rakan Sukan Tanah Merah di Pendang iaitu seramai 141 mangsa dari 36 keluarga berbanding 139 dari 35 keluarga pagi hari ini.

"Selain itu, jumlah mangsa banjir di empat PPS di Baling masih kekal setakat ini yang membabitkan jumlah keseluruhan 102 mangsa dari 29 keluarga.

"Empat PPS di Baling iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Pari, SK Siong, SK Titi Gantung dan Banggol Derom dibuka sejak semalam berikutan paras air meningkat akibat hujan," katanya.

Disiarkan pada: October 30, 2021 @ 10:20pm
d